Rabu, 5 November 2008

KENALI TUAN HAJI OTHMAN ADAM


Tokoh tempatan yang ingin diketengahkan kali ini ialah Tuan Hj. Othman Bin Adam. Berumur 73 tahun mempunyai seorang isteri bernama Hjh. Zaleha Bte Md. Nor dan mempunyai anak seramai 6 orang. Oleh kerana beliau seorang guru begitu juga isterinya, maka beliau menitikberatkan pendidikan kepada anak-anaknya, maka kesemua anak-anaknya mendapat kejayaan cemerlang dalam pelajaran dan melanjutkan pelajaran keluar negara. Salah seorang ialah Sdr. Zaharuddin Othman, bekas calun PAS bagi DUN Senaling pada pilihanraya ke 11 dan 12 yang lalu. Beliau yang berasal dari Air Mawang, Johol, juga dikenali sebagai Cik Gu Othman telah bersara sebagai guru pada tahun 1986 dan melibatkan diri dalam arena politik tanah air semenjak tahun 1964 dengan UMNO Bahagian Kuala Pilah. Beliau pernah memangku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Pilah sekitar tahun 1969 kerana Ketua Pemuda UMNO ketika itu Allahyarham En. Jano bin Yatim telah bertindak keluar Parti dan bertanding dalam Pilihanraya tahun yang sama atas tiket Bebas dengan menggunakan lambang Ayam.

Menceritakan pengalaman beliau ketika dalam Pemuda UMNO tahun 60han itu, saat yang tidak dapat dilupakan ialah ketika dipanggil berbincang antara kesemua guru-guru Kuala Pilah yang menganggotai pertubuhan bukan politik KGGMB (Kesatuan Guru-Guru Malayu Malaysia Barat) dengan UMNO Bahagian Kuala Pilah yang dipimpin oleh Dato’ Idris Mat Sil. Kesemua guru-guru yang dipanggil tidak bersetuju dengan cadangan Menteri Pelajaran ketika itu Khir Johari untuk memansuhkan tulisan jawi dengan meminda Akta Bahasa 1964 yang memusnahkan jatidiri dan akar umbi tulisan jawi. Walaupun dipujuk oleh Ketua Bahagian untuk menerima cadangan tersebut dengan pelabagai alasan, namun guru-guru tersebut tetap menolak cadangan itu dan bertindak keluar daripada sessi perbincangan tersebut, dan sebilangan besar bertindak keluar dari parti. Selain itu UMNO juga cuba mempengaruhi Naib Pengerusi KGGMB Md. Nor Hamid (merangkap Pengerusi KGGMB N. Sembilan) supaya menerima cadangan tersebut dan menawarkan Jawatan Duta di Indonesia kepada beliau, namun dengan ketegasan Md. Nor Hamid, beliau tetap menolak cadangan itu dan mempertahan keputusan ahli-ahlinya. KGGMB mempunyai pengaruh yang kuat dalam UMNO ketika itu, kerana rakyat menganggap mereka terdiri daripada golongan cerdik pandai Melayu. Kepimpinan UMNO sudahpun menjadi Pak Turut, kerana Khir Johari adalah anak emas Tuanku Abdul Rahman, sebab itu tindakan memansuhkan tulisan jawi tidak mendapat tentanganpun dari mana-mana pimpinan UMNO. Ini adalah salah satu rentetan perjuangan beliau didalam UMNO ketika itu.


Bersama isteri beliau Hjh. Zaleha


Tuan Haji Othman juga pernah menjadi Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kuala Pilah untuk beberapa penggal, sebagai Ketua Kampung Sungai Dua semenjak 1986 hingga 1999 dan Nazir Masjid Kg. Sungai Dua. Oleh kerana banyak jasa yang beliau curahkan kepada masyarakat di Kuala Pilah, beliau telah dianugerahkan pingat JP pada tahun 1997, selain itu beliau juga dianugerahkan pingat AMN dan PJK. Apabila berlaku pemecatan Dato’ Seri Anwar pada tahun 1998 yang lalu, beliau mula merubah hala tuju politiknya setelah melihat pelbagai kecacatan melanda UMNO yang tidak upaya dibaiki lagi. Beliau dengan tegas menyatakan bahawa UMNOlah pengkhianat kepada Ugama Islam dan Bangsa Melayu, kerana menghapuskan tulisan jawi suatu ketika dahulu, pertubuhan itu sendiri tidak menggunakan nama Melayu, malah nama Tanah Melayu turut dihilangkan dan banyak lagi perkara yang melibatkan kepentingan Ugama dan bangsa tidak upaya diselamatkan. Beliau memegang prinsip “perkara yang haq, wajib dipertahankan, yang bathil wajib dilenyap dan dihindarkan”, Dengan prinsip itu walaupun sudah berumur 73 tahun, beliau masih lagi cergas membantu gerakan politik dan bergerak dalam Parti Islam SeMalaysia Kawasan Kuala Pilah.

Sebagai seorang pendidik, isteri Tuan Haji Othman, Hajjah Zaleha Bte Md. Nor 73 tahun juga mempunyai visi yang sama seperti suaminya. Bukan sekadar menjadi pendidik kepada anak-anak murid disekolah, beliau berazam untuk mencurahkan khidmat kepada masyarakatnya khususnya wanita di Kuala Pilah. Oleh itu beliau bersama-sama dengan pimpinan Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah bermula tahun 1974 dan untuk beberapa kali mendapat undi terbanyak dalam Jawatan AJK Wanita Bahagian yang dipimpin oleh Datin Halimah Rasul isteri kepada Menteri Besar N. Sembilan, Dato’ Mansor Othman ketika itu. Beliau juga turut menganggotai Ahli Majlis Daerah Kuala Pilah pada tahun 1990 hingga 1992. Beliau juga mempunyai perasaan dan pandangan yang sama dengan suaminya, setelah melihat kepincangan yang berlaku, beliau mengundur diri. Bila ditanya kepimpinan Wanita UMNO Kuala Pilah hari ini, beliau amat kesal kerana kebanyakkannya mementingkan diri sendiri. Walaubagaimanapun beliau masih mempunyai hubungan yang baik dengan pemimpin lama seperti Dato’ Napsiah Omar dan lain-lain.

Sebelum menamatkan perbualan, Tuan Haji Othman mengingatkan saya supaya sentiasa berpegang kepada prinsip yang diyakini dan bersumber Wahyu dan Sunnah Rasul SAW.

Kepada Tuan Haji Othman Adam dan Isteri Hajjah Zaleha Bte Md. Nor kita doakan agar Allah berikan mereka kesihatan yang baik. Terima kasih.

1 ulasan:

  1. Inilah tokoh ori Umno sebenarnya. Hanya Umno yang dah tak ori. Maka kenalah rumah baru. salam

    BalasPadam