Isnin, 30 November 2009

Empat gempa di Kuala Pilah, terbaru 2.30 petang

G empa bumi lemah berukuran 3.0 pada skala Richter berlaku buat kali keempat di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada pukul 2.30 petang hari ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, gempa bumi itu berpusat di 22km timur Seremban dan merupakan kejadian terbaru daripada tiga kejadian gempa bumi yang berlaku di lokasi sama sejak semalam.

Kejadian gempa bumi pertama berlaku pada pukul 2.30 petang semalam dan hari ini sebanyak tiga kejadian gempa bumi direkodkan oleh Jabatan Meteorologi yang berlaku pada pukul 12.15 tengah malam, 9.10 pagi dan 2.30 petang ini, menurut kenyataan itu.

Gegaran akibat gempa bumi itu dapat dirasai oleh penduduk di kawasan berkenaan, bagaimanapun, orang ramai tidak perlu berasa bimbang kerana gegaran itu adalah lemah.

Menurut kenyataan itu, kejadian gempa bumi lemah adalah kesan daripada gempa bumi kuat yang berlaku di Indonesia baru-baru ini. BERNAMA

KM Pulau Pinang kesal polis biarkan penyokong Umno demo di luar DUN

K etua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menempelak pasukan polis kerana membiarkan samseng jalanan tajaan Barisan Nasional (BN) membuat kecoh di luar Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini.

"Berdemo dibolehkan kerana ia adalah hak rakyat untuk melahirkan perasaan tidak puas hati terhadap kepimpinan tetapi biarlah bersopan bukan seperti samseng jalanan tanpa menghormati dewan yang sedang bersidang.

"Polis hendaklah bertindak wajar dengan tugasan mereka menjagai keamanan. Bukan membiarkan pendemo bertindak sesuka hati, riuh rendah dan memalukan, " terangnya dalam sidang akhbar ketika masa berehat Persidangan Kali Ke Tiga Dewan Undangan Negeri Penggal Ke Tiga Dewan Undangan Negeri Yang Ke Dua Belas pagi tadi.

Lim mengulas tindakan sekumpulan penyokong Umno yang berdemo dan membuat kecoh di luar Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Beliau berharap tindakan polis itu tidak berat sebelah terhadap demontrasi yang dijalankan oleh pendokong Pakatan Rakyat di mana juga.

Ini tidak tambahnya, bila pendokong Pakatan Rakyat berdemo, pihak polis cepat bertindak menahan, menangkap serta bertindak kasar atau mengurung mereka dalam lokap atau diletakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Lebih malang lagi ada yang cedera dipukul bertalu-talu oleh pasukan polis yang tidak berunifom.

Keadaan ini berbeza terhadap apa yang terjadi di hadapan Dun Pulau Pinang pihak polis seakan membiarkan pendemo mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kepimpinan negeri yang jelas mengamalkan sikap Cekap, Akautabiliti dan Telus (CAT).

Beliau hairan kenapa isu yang telah lama selesai khususnya Kampung Buah Pala ditimbulkan kembali di waktu persidangan dewan dan tentunya ada usaha merosakan nama baik Kerajaan Negeri yang sedaya upaya merancang sebuah negeri berkebajikan.

"Kerajaan Negeri sudah terbukti berjaya melakukan kelainan dengan kerajaan BN yang memerintah sebelum ini apabila mendapat pengiftirafan daripada Badan Anti Rasuah Dunia.

"BN patut akur dengan pengiktirafan tersebut kerana sepanjang mereka memerintah bukan rasuah berkurangan bahkan berleluasa, " tegasnya.

Turut serta dalam sidang media pagi tadi ialah Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dr Mansor Othman dan Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang, Prof Dr Ramasamy.

(GEORGETOWN, 30 Nov: Mohd Sabri Said) Petikan dari PKRNS.

Ahad, 29 November 2009

APA ISI DOANYA?

N ik Aziz pertahan isu doa

KOTA BAHARU- Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap mempertahankan bahawa tidak salah daripada segi agama Islam jika mendoakan seseorang itu dilaknat Tuhan jika mereka mempunyai niat jahat terhadap seseorang lain.

Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau sanggup berhadapan dengan ulama yang membidas serta mengkritik kenyataannya itu dan mengingatkan beliau bahawa perbuatan sedemikian adalah haram di sisi Islam.

Jumaat lepas, Nik Abdul Aziz berkata beliau akan berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno jika kerajaan pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan, yang disifatkan sebagai sesuatu yang tidak betul.

Menteri Besar Kelantan itu turut menjelaskan kenyataannya itu.

"Doa yang dimaksudkan itu (kepada Perdana Menteri) hanya meminta Allah memperbetulkan fikiran Perdana Menteri,(Datuk Seri Najib Tun Razak) iaitu beri (royalti) gas dan petrol kepada Kelantan, kalu tak beri juga, bermakna beliau berniat tak baik.

"Niat tak baik itulah yang saya minta dilaknatkan Tuhan tu...," katanya. Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria, dalam laporan media hari ini dipetik sebagai berkata umat Islam sepatutnya berdoa dan memohon kepada Allah supaya memberikan hidayah, kesejahteraan serta keselamatan terhadap orang lain, terutama saudara seagama, bahkan kepada orang kafir.
-- BERNAMA

Khamis, 26 November 2009

SELAMAT HARI RAYA IEDIL ADHA

P ara Hujjaj akan berhimpun di di Padang Arafaat dan kewajipan Hajji di Makatul Mukarammah hanya wajib sekali seumur hidup. Para Hujjah akan memakai ihram hanya sebelit kain putih membaluti tubuh, terlucut segala mahkota dan pakaian kemegahan, penuh patuh dan tunduk menghina dan merendah diri dibawah perintah dan keagungan yang Maha Kuasa Allah SWT. Mereka menghadirkan diri dihadapan Allah SWT dengan lafaz "Laibaika Allahmumma Labbaika...". Segalanya dilakukan dibawah pertunjuk dan pimpinan Allah dan RasulNya supaya ibadat yang dilakukan menjadi Mabrur dan Maqbul.

Rabu, 25 November 2009

DR. ASRI PERSOAL PEGAWAI JAIS KUTUK NIK AZIZ DAN HADI AWANG

B ekas Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin mempersoalkan tindakan seorang pegawai JAIS yang terlibat dalam kes beliau, yang turut mengutuk Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat dan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Pegawai terbabit yang juga AJK Pegawalan Aqidah Majlis Agama Islam Selangor dikatakan turut menyesatkan kedua-dua tok guru itu dengan tuduhan wahabi.

“Di sini disertakan tulisan-tulisan pegawai JAIS yang terlibat dalam kes saya. Tulisan-tulisan ini dipetik dari blognya. al-Subki adalah nama penanya.

”Tulisan-tulisan menunjukkan beliau juga turut menyesatkan YAB Nik Aziz dan YB Hj Abd Hadi dengan tuduhan wahabi. ‘Anak Pak Wahab’ itu merujuk ke pengikut wahabi.” kata Dr Asri kepada Harakahdaily.

Tinjauan Harakahdaily mendapati terdapat satu carian alsubki2.blogspot.com di bawah nama Ustaz Mahfuz Muhammad @Hj. Khalil, dipercayai AJK Pegawalan Aqidah Majlis Agama Islam Selangor terbabit.

Terdapat satu tulisan Mahfuz bertarikh 18 March 2009 dibawah tajuk “Dari blog Ahli Sunnah Wal Jamaah Diari - Mesyuarat Anti Wahabi” berhubung penentangan untuk mengekang gerakan fahaman Wahabi di negara ini.

“Untuk penjelasan lanjut, boleh layari laman blog sahabat saya al-subki.blogspot.com. yang membicarakan dengan lebih terperinci lagi mengenai fahaman ini. Atau sekiranya ada soalan, saya akan cuba memberi jawapan sebaik mungkin,” tulis Mahfuz dalam blognya.

Harakahdaily bertanya kenapa blog asal al-subki ini telah bertukar, Dr Asri menjawab ianya disebabkan oleh satu kes yang berlaku, yang tidak mahu didedahkan beliau.

“Dia ini telah mengutuk dan menghina Ustaz Nik Aziz dan Ustaz Hadi lebih dulu daripada saya.

“Orang seperti ini tidak boleh dibiarkan, sehingga ramai marah dan jika dibiarkan akan semakin melampau,” katanya yang merujuk keratan yang diemailkan kepada Harakahdaily.

Tiga keratan antaranya bertarikh 26 Jun 2008, membabitkan kutukan beliau terhadap Nik Aziz dan Abdul Hadi.

Salah satu keratan di bawah tajuk “Nik Aziz dan Allah duduk lendik atas arash” memuatkan petikan dipercayai daripada tulisan pegawai terbabit yang antaranya berbunyi :”Kalau di lihat sejarah beliau di Kelantan sejak pulang dari luar negeri telah dilihat membawa fahaman songsang…”

Dr Asri membangkitkan apakah pegawai JAIS ‘dibiarkan’ oleh Kerajaan Selangor dengan tujuan tertentu dan sewajarnya satu tindakan perlu diambil berhubung isu ini.

“Apakah ini pendirian Kerajaan Selangor, atau hanya JAIS?” katanya yang mahu perkara ini didedahkan untuk pengetahuan umum.

sumber: Harakahdaily

(Ust. Mahfuz inilah bersama-sama dengan rakannya menjalankan propoganda jahat beliau mencaci dan mencerca suatu Jamaah di Kuala Pilah dan menyesatkannya dengan menjaja disetiap Mesjid di Kuala Pilah dan seluruh Negeri Sembilan suatu ketika dahulu. GK)

Sabtu, 21 November 2009

ADUN JOHOL BERANSUR PULIH

S aya berkesempatan untuk menziarahi ADUN Johol YB Dato' Roslan Yusof petang tadi bersama seorang rakan yang menjemput saya kerana urusan beliau dengan YB tersebut. Saya berhajat untuk menziarahi beliau sebelum ini tetapi tidak berpeluang berbuat demikian kerana kesibukan tugas. Beliau kelihatan sudah mampu untuk bergerak sendiri dan berbual mengenai kesihatan beliau dan kerjayanya sebelum menjadi Wakil Rakyat. Saya terkenang sahabat-sahabat lama dalam UMNO di Kuala Pilah, dan baru-baru ini berjumpa dengan Ahmad Bakar dan beliau sudah tidak selincah dulu lagi kerana faktor kesihatan, begitu juga dengan To' Bakar SU Kerja UMNO Bahagian, entah kemana perginya, dengar khabar beliau sakit. Minggu lepas Baharin Kodo kembali ke RahmatulLah dengan mengejut. Cik Gu Ahmad Chengkerong nampak masih cergas dan baru sebentar tadi talifon saya Rubber Stamp dah siap ke tanyanya. Beliau ternyata amat kesal kerana banyak bahan-bahan sejarah di UMNO bahagian Kuala Pilah telah hilang, tetapi saya masih memilikinya. Saya juga sesekali bertemu Dato' Kamel Yusuf, katanya borang UMNO ada dalam kereta beliau jika saya nak masuk semula, saya balas balik borang Keadilanpun saya ada untuk Dato' isi, tunggu apa lagi. Teringat juga tahun lalu, YB Samad Ibrahim berkunjung ke kantor saya, ketika asyik berbual dengan tidak diduga, muncul Mizan CNN. Eemmmmm apa lagi, macam biasa la dia, YB Samad dan saya terpinga-pinga. Bulan Febuari 2010 tahun depan Abang Jeo Pendek Jemapoh (Bekas AJK UMNO Bahagian/Pemuda?) dah nak bermenantu, beliaupun dah mula buat tempahan kad kahwin. Berbalik di Johol tadi, diakhir pertemuan dengan YB tersebut kami mendoakan agar beliau akan bertambah sehat dan sembuh sepenuhnya.
(Coretan peribadi Hazman)

Isnin, 16 November 2009

KURSUS SINGKAT FACE-BOOK

K ursus singkat pengenalan FACEBOOK akan diadakan pada 20hb. November 2009 (Jumaat) bermula jam 9,00 pagi hingga 11.00 pagi di KP Net Centre, Kuala Pilah. Ahli-ahli adalah digalakkan untuk menyertai kursus ini dan sila maklumkan kepada saya untuk tempahan tempat.

KONVENSYEN PKR N. SEMBILAN

K onvensyen PKR Negeri Sembilan akan diadakan seperti butiran berikut:-

Tarikh : 22hb. November 2009 (Ahad)
Masa : 8.00pagi - 5.30ptg
Tempat: Sek. Men. Tinggi Chung Hua Seremban.
Ucaptama: Dato' Seri Anwar Ibrahim (Ketua Umum PKR)

Cabang Kuala Pilah akan menghantar 50 orang perwakilan dan ahli-ahli yang berminat untuk turut serta, sila hubungi saya melalui tel: 012-3841364 dengan kadar segera sebelum 18/12/2009. Terima kasih.

Rabu, 11 November 2009

PROF DR YUSUF QARDHAWI JUGA DI COP WAHABI

M eninjau kembali sejarah dan liku-liku perjuangan Prof Dr Yusuf al-Qardhawi, seseorang itu pasti akan menimba pelajaran yang sangat besar dari tokoh besar ini. Kehidupannya yang penuh dengan ilmu dan dakwah, membentuk diri beliau sebagai seorang sarjana dan ilmuan islam yang disegani pada zaman ini.

Ketika anak-anak murid beliau mengadakan seminar memperingati jasa dan ketokohan beliau serta menamakan beliau sebagai Al-Imam. Air mata beliau menitis deras membasahi janggutnya, kemudian tokoh besar ini berkata, “Sesungguhnya tidaklah layak aku memakai gelaran ini. Aku hanyalah seorang penuntut ilmu, dan akan terus menuntut ilmu hingga akhir hayatku.”

Kesarjanaan dan ketokohan beliau telah diakui oleh beratus malahan beribu ulama besar yang lain di seluruh dunia. Beliau yang sering dijoloki dengan gelaran Al-Imam Al-Wasatiyah (Imam yang bersederhana) bukan sahaja memberi pengaruh yang besar dalam dunia intelektual, malahan memberi sumbangan dalam dunia politik Islam.

Namun begitu, tokoh Ilmuan Islam ini semasa mudanya menempuhi pelbagai dugaan dan cabaran bukan sahaja dari luar malahan dari dalam pusat pengajiannya. Suatu ketika dahulu, beliau berhadapan dengan pelbagai konterversi hanya kerana beliau menegur gurunya berkaitan dengan perkara khurafat yang berlaku di sekitar Mesir. Atas peristiwa ini, beliau digelar oleh gurunya dengan gelaran Wahabi!

Bukan setakat di bilik darjah, di tempat tinggalnya juga beliau terpaksa menangani kekecohan dari penduduk tempatan yang mendakwa beliau telah menghina para ulama kerana mengeluarkan pandangan yang berbeza.

Dalam Mukadimah buku beliau Fatwa Mu’asarah, beliau menulis, “Pada mulanya saya menimbulkan kekecohan di kalangan orang ramai. Mereka tertanya-tanya: “Bagaimana pemuda ini berani berbeza pandangan dengan syeikh-syeikh besar? Bagaimana dia mengajar orang-orang bukan daripada kitab-kitab muktabar? Bagaimana dia boleh mengeluarkan pandangan-pandangan yang sebelum ini belum pernah kami dengar?” Saya menghadapi hal ii dengan penuh tabah sambil mempertahankan pandangan. Saya katakana kepada orang-orang yang tidak bersetuju: “Di antara saya dan kamu ialah al-Quran dan Sunnah. Oleh itu marilah kita kembali kepadanya.”

Prof Dr Yusuf al-Qadhawi mengharungi tuduhan dan fitnah ini dengan penuh takwa dan sabar. Kerana beliau sedar dan yakin bahawa hak sentiasa akan ditentang oleh kebatilan. Malahan al-Quran dan as-Sunnah telah menceritakan bagaimana sukarnya perjuangan Nabi Muhammad shallahu-alaihi wasalam menyebarkan risalah tauhid dan membersihkan kesyirikan manusia ketika itu. Kerana yakin dan tahu bahawa hanya kebenaran yang dibawa, Prof Dr Yusuf al-Qardhawi tidak berganjak dengan prinsip dan seruan tajdidnya(pembaharuan) terhadap agama. Kesungguhan dan keyakinan beliau terhadap seruan kembali kepada al-Quran dan Sunnah (tajdid) atas prinsip dan kefahaman para sahabat dan tabien, telah memberi pengaruh yang besar dalam dunia Intelektual Islam.

Jika disoroti perjalanan dakwah dan kesarjanaan Al-Qardhawi, ia hanyalah kesinambungan dan kelansungan perjuangan Ulama-ulama besar sebelum beliau. Misalnya al-Imam Ibnu Taimiyah dan al-Imam Ibnu al-Qoyim yang sinonim dengan gerakan Tajdidnya dan usaha mereka memerangi syirik dan bid’ah.Tuduhan dan fitnah yang sentiasa bermain di bibir masyarakat kepada al-Qardhawi masih wujud sehinggalah masa kini, setelah beliau dikenali sebagai Sarjana dan Ilmuan Islam besar. Istilah-istilah Wahabi masih lagi terus wujud dan diletakkan di bahu beliau. Malahan tuduhan bahawa beliau Muktazilah serta kafir turut berlegar di kalangan mereka yang membenci tokoh ini. Namun, beliau tidak pernah beranjak sedikit pun dari prinsip dan perjuangannya. Walau ditohmah dan dituduh dengan gelaran Wahabi dan sebagainya, beliau tidak pernah menganggapnya sebagai batu penghalang kepada seruannya kepada umat Islam agar kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Menariknya apabila ditanya kepada beliau tentang Muhammad bin Abdul Wahab, seorang tokoh islam yang dituduh dengan pelbagai tuduhan serta mengaitkan tokoh ini dengan gelaran Wahabi. Al-Qardhawi menjawab dalam bukunya Feqh al-Auliyat (Feqah keutamaan) , “Perkara pokok dalam da'wah Imam Muhammad bin Abd al-Wahhab di Jazirah Arabia ialah pada bidang aqidah, untuk menjaga dan melindungi tauhid dari berbagai bentuk kemusyrikan dan khurafat yang telah mencemari sumbernya dan membuat keruh kejernihannya. Dia menulis berbagai buku dan risalah, serta menyebarkan dan mengamalkannya dalam rangka menghancurkan berbagai gejala kemusyrikan.”Justeru, jika ada tokoh atau Sarjana Islam yang membawa misi yang sama dan seruan yang sama maka bersiap-siaplah untuk mendapat gelaran Wahabi; yang anda sendiri tidak tahu menahu tentang terminologi ini.Kepada mereka yang suka bermudah-mudah dan ringan mulut memburukan dan membuat tuduhan di atas nama agama. Marilah kita muhasabah dan bersikap amanah dalam menyebarkan ilmu. Buangkan prasangka, sikap ujub serta tabiat melabel-labelkan orang, lebih-lebih lagi apabila kita bercakap atas tiket agama. Firman Allah dalam surah al-Hujrat ayat 12, “hai orang-orang yang beriman. Jauhilah banyak bersangka-sangka, kerana sesungguhnya sangkaan itu berdosa”Dikuatkan lagi dengan pesanan Nabi Muhammad shallahu-alaihi wasalam, “Hati-hatilah kamu terhadap prasangka, kerana sesungguhnya prasangka itu adalah sedusta-dusta perkataan” (Hadith direkodkan Imam Bukhari).

Maka beruntunglah mereka yang tetap di jalan kebenaran, dan jika anda berani untuk mengaku sebagai wahabi, hafallah dan telanlah ucapan HAMKA ini sebagai panduan apabila diasak dengan soalan, “Adakah anda Wahabi?.”“Bagi kami yang dikatakan kaum muda itu tidaklah keberatan jika dituduhkan Wahabi. Kalau 20 atau 30 tahun yang lalu semasa pengetahuan agama hanya boleh dipercayai oleh mufti-mufti sahaja, mungkin orang takut dikatakan Wahabi. Tetapi sekarang orang telah tahu bahawa Wahabi tidak lain adalah daripada penganut Mazhab Hanbali yang keras mempertahankan Sunnah. Dan yang berpengaruh memperbaharui (Tajdid) faham Mazhab Hanbali itu ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qoyim. Oleh sebab itu bagi kami dituduh Wahabi bukanlah satu penghinaan.” (Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah dalam tulisannya terhadap Mufti Johor as-Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad pada tahun 1958)

Oleh : Yussamir Yusof
Sumber: http://www.yussamir.com/

Isnin, 9 November 2009

TAHNIAH PASUKAN BOLASEPAK N. SEMBILAN

K emenangan Negeri Sembilan menjuarai Piala Malaysia tentunya sangat membanggakan rakyat Negeri Sembilan. Kemenangan ini sesuatu yang amat besar ertinya dalam bidang sukan khususnya Bolasepak dinegeri ini. Kerana inilah pertama kali dalam masa 61 tahun piala kemegahan negara dalam dakapan Negeri Sembilan. Dulu dalam tahun 1948 Negeri Sembilan menjuarinya yang dinamakan Piala HMS, ketika itu ramai dikalangan peminat termasuk saya masih belum dilahirkan. Suasananya tentu berbeza. Terus terang saya katakan saya tidak lagi berminat untuk menonton bolasepak, dan saya terperanjat bila membaca akhbar, Negeri Sembilan bertemu Kelantan di perlawanan akhir, ini kerana tidak mengikuti perkembangan sejak awal. Kemerosotan persembahan pasukan Kebangsaan semenjak pertengahan tahun 80han hingga kehari ini dan juga mutu permainan pasukan negeri-negeri yang sangat rendah menyebabkan ketagihan menonton sudah tiada lagi. Namun kemenangan N. Sembilan itu sedikit sebanyak menerbitkan minat untuk bercerita mengenai bolasepak yang menjadi permainan utama negara. Tetapi sayang anak-anak muda kini lebih berminat di padang Futsal yang kelihatan membunuh permainan bolasepak sebenar. Rakyat Negeri Sembilan pula tidak diajak bersama meraikan kejayaan itu, takdak cuti... Dulu semua kenal dari penjaga gol (Arumugam) hingga Striker (Mokhtar), kini kalau tanya saya siapa penjaga gol dan striker NS ? Jawabnya ONTAH! Walaubagaimanapun SYABAS anak muda Negeri Sembilan.

Khamis, 5 November 2009

KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA

P enahanan Dr Mohd Asri Zainul Abidin bekas Mufti Negeri Perlis oleh pihak Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) telah menimbulkan kekeliruan dikalangan masyarakat Islam terutama di Negeri Selangor.

Selaku individu yang berada ditempat berlakunya majlis ilmu berkenaan, saya rasa terpanggil untuk menjelaskan beberapa perkara yang mengelirukan berdasarkan kepada beberapa laporan akhbar yang saya rasa telah memetik dari sumber yang cuba melindungi kejadian sebenar yang berlaku.

Tetapi apa yang dikesalkan ialah cara pihak JAIS menjalankan operasi penahanan adalah tidak professional dan mempamerkan kelemahan yang tidak sepatutnya wujud dalam organisasi yang tinggi tarafnya seperti JAIS.

Lebih menghairankan apabila ditahan, pihak JAIS gagal menyediakan kertas pendakwaan bagi mengaitkan Dr Asri dengan sebarang kesalahan melainkan dengan alasan mengajar tanpa tauliah.

Sepatutnya penahan dibuat setelah terbukti sesorang itu telah melakukan kesalahan. Agak menyedihkan dalam kes ini sewaktu mahu menahan Dr Asri, kelihatan pegawai JAIS sendiri tidak membuat persediaan dan sering menggunakan telefon bagi mendapat arahan dari pegawai atasan yang dipercayai ialah Pengarah JAIS sendiri iaitu Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Bagi saya tindakan JAIS yang menggunakan khidmat polis pada malam kejadian juga adalah satu tindakan yang melampau dan meletakkan Dr Asri pada kedudukkan yang tidak sepatutnya memandangkan sebelum ini beliau telah diberi kepercayaan oleh Tuanku Raja Perlis untuk menjaga persoalan berkenaan agama Islam di Negeri Perlis sendiri.

Sepatutnya sebagai seorang bekas Mufti dan memiliki pendidikan sehingga kepada peringkat Doktor Falsafah berkenaan Islam, beliau dialu-alukan untuk mendidik masyarakat. Adakah semua ini masih lagi tidak melepasi kelayakan yang diperlukan oleh JAIS untuk seorang seperti beliau bagi menyampaikan dakwah di Selangor.

Disini saya bertegas mendesak Pengarah JAIS menjelaskan apakah garis panduan yang digunapakai oleh pihaknya untuk melayakkan seseorang itu boleh ditauliahkan untuk memberi kuliah di Selangor.

Berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi, sehingga kini terdapat lebih kurang 7 orang Ustaz yang diantaranya adalah pensyarah Universiti Islam Antarabangsa dan telah gagal mendapat tauliah untuk mengajar di Selangor tanpa alasan yang kukuh dan bertulis.

Dengan adanya garis panduan tersebut JAIS akan dapat membendung amalan mengikut selera Pengarah JAIS dan memberi keadilan kapada cendekiawan seperti Dr Asri untuk menyampaikan ilmu.

Dalam tempoh terdekat, pihak ahli parlimen Pakatan Rakyat Selangor akan menghantar petisyen kepada Duli Yang Teramat Mulia Sultan Selongor agar menilai semula kedudukan dan fungsi Pengarah JAIS yang jelas telah menjejaskan kedudukan Baginda selaku penaung kepada perkembangan Islam di Negeri Selangor yang bertuah ini.

Melalui kenyataan media ini juga saya ingin menafikan laporan Malaysiakini yang memetik kenyataan Pengarah JAIS bahawa saya dan seorang lagi rakan YB Shaari Sungip telah menghalang tugas pegawai JAIS untuk menjalankan tugas sehingga terpaksa menggunakan polis.

Apa yang berlaku ialah saya dan YB Shaari Sungib cuba untuk menenangkan keadaan kerana para jemaah ketika itu terkejut dengan serbuan yang dilakukan dengan kasar dan biadap oleh saudara Shahrom penolong pengarah penguatkuasa JAIS yang mengaku mempunyai ijazah dari Universiti Al Azhar.

Untuk itu, saya mengesa agar Pengarah JAIS yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan ini menarik balik dakwaan beliau. Sebaliknya beliau perlu lebih teliti dalam mengeluarkan kenyataan kerana beliau membawa imej JAIS yang dipandang tinggi oleh umat Islam.


Tarikh: 4 November 2009

ZURAIDA KAMARUDDIN
Ahli Parlimen Ampang
Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat

Isnin, 2 November 2009

PGSM BERDOLAK-DALIK DAN MENGELIRUKAN

P ersatuan Peguam Syarie (PGSM) dalam Kenyataan Medianya semalam (Ahad 1hb November 2009) memperlihatkan kecelaruan mereka. Dalam Memorandum yang dihantar kepada DYMM Yang DiPertuan Agong, persatuan itu bersama-sama dengan NGOs yang lain memohon kepada Yang DiPertuan Agong supaya menarik balik perlantikan Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin sebagai Yang Di Pertua YADIM. Tetapi dalam Kenyataan Medianya pula menyatakan bahawa Jawatan Yang DiPertua YADIM masih belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak Kerajaan. Oleh yang demikian bagaimana boleh pihak PGSM mengutus memorandum kepada Agong supaya menarik balik Jawatan tersebut??. Selain itu PGSM dalam kenyataannya melahirkan rasa kecewa atas sikap Dr. Asri yang dikatakan cuba membesar-besarkan isu tersebut dan cuba mengheret masyarakat awam dan mencari publisiti. Bila isu ini diketahui ramai, PGSM mula gelisah, Memo yang dipaparkan dalam Web-site persatuan itu dikeluarkan dengan serta merta dengan alasan teknikal. Apabila mereka sendiri celaru dan kelam kabut, Dr. Asri pula dituduh sebagai mencari publisiti. Lagi, PGSM mendakwa memorandum kepada YDP Agong adalah atas niat baik supaya kesepaduan umat Islam di Malaysia atas pegangan ahli sunnah wal jamaah TIDAK dirobek dan dimusnahkan oleh pendekatan yang tidak mengikut arus perdana dan tidak mahu suasana kacau bilau dalam amalan beragama berlaku di Malaysia. Jelas PGSM mengamalkan pendekatan songsang dalam memimpin Umat Islam dengan menjadikan ARUS PERDANA sebagai ikutan dalam beragama bukannya ikutan Qur'an dan Hadits.

Ahad, 1 November 2009

ULAMAK DIMUSUHI

P enangkapan Bekas Mufti Perlis Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin semalam di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang ketika menyampaikan kulian kepada 200 orang oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor tidak menghairankan. Kerana selagi sistem penjajah menjadi amalan pemerintah, selama itu para pengembang Agama yang bertentangan dengan pemerintah akan terus diburu. Apatah lagi penentang yang berada dikiri kanan akan sentiasa menjalankan peranan mereka sebagai kaki kipas dan pengampu dan membisikkan kepada orang atasan supaya suatu hukuman dikenakan kepada mereka. Turut bersama dalam kuliah beliau ialah Ketua Wanita Keadilan Pusat, YB Puan Zuraida Kamarudin dan Adun Ulu Kelang, YB Shaari Sungip. Sebelum itu Persatuan Peguam Syarie Malaysia yang diketuai oleh Persidennya Mohamad Isa Abd. Ralip yang mendakwa bersama-sama dengan 13 NGOs yang lain (Persatuan Pegawai-pegawai Syariah Malaysia, Yayasan Sofa NS, Yayasan Jenderami, MUAFAKAT, Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Alumni Kolej Islam (ALKIS), Jamaah Islah Malaysia (JIM), Persatuan Ulamak Malaysia, Yayasan Paksi Kedah, Persatuan Ulamak Kedah, Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), telah menyerahkan suatu Memorandum kepada Yang DiPertuan Agong meminta Baginda menarik balik perlantikan Dr. Asri sebagai Yang Di Pertua YADIM. Memorandum tersebut disiarkan dalam website Persatuan Peguam Syarie Malaysia, namun kemudian ia ditarik balik atas alasan teknikal. Kami percaya mereka terpaksa menarik balik memorandum itu daripada tersiar kepada orang ramai, kerana bimbang hujjah longgar yang mereka kemukakan dalam memorandum itu akan diketahui ramai dan akan memalukan Persatuan itu sendiri. Namun kami berkesempatan untuk mendapatkan salinanya, dan memang terbukti bahawa mereka-mereka itu sangat bimbang dengan kebangkitan Gerakan Pembaharuan yang dibawa oleh Dr. Asri dan kawan-kawannya itu akan menggugat kesenangan yang mereka nikmati sekarang. Mereka juga bimbang warisan nenek moyang yang menjadi amalan masyarakat Melayu zaman berzaman yang sarat dengan amalan animisma ditinggalkan Umat Islam dan kembali kepada Al-Qur'an dan Sunnah. Kami juga percaya laporan polis dibuat oleh mereka yang iri hati dengan perkembangan pesat gerakan pembaharuan ini, terutama mereka yang mensebatikan diri mereka dengan kubur-kubur dan beraqidah bahawa Rasulullah saw masih hidup dan boleh datang kepada siapa yang yang Baginda mahu, seperti kepercayaan kaum tarikat yang berselerak di Negeri Sembilan ini. Apatah lagi sekarang ini seorang yang diangkat sebagai Syeikh Besar tarikat tersebut sedang bergerak di Gombak dengan menjadikan Agama sebagai sumber pendapatan. Ini ditegaskan oleh Dr. Asri bahawa institusi Agama dilihat sebagai ruang membuat keuntungan kepada sebuah akhbar. Oleh yang demikian, kami menyeru kepada Dr. Asri dan kawan-kawannya agar tabah menghadapi dugaan ini dan kami akan bersama bagi membebaskan pemikiran kolot dan jumud sebahagian bangsa Melayu yang sudah lama terjajah dan bertaklid buta.