بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌ‌ۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡـُٔولاً۬بِسۡمِ
Jangan engkau turut apa-apa yang engkau tidak tahu, kerana pendengaran dan penglihatan dan hati sekelian itu akan diperiksa hal ikutan itu. (Israk:36)

SALAM PERTEMUAN

Selamat bertemu kepada ahli dan penyokong kELUARGA BESAR keADILan Kuala Pilah, mari kita jadikan ruangan ini sebagai medan untuk mencernakan pemikiran bagi merealisasikan impian menawan Parlimen Kuala Pilah, ini tidak mustahil!! Kita punya ramai sahabat dan teman untuk menyumbang, baik buah fikiran maupun lainnya dan hasrat kita, inilah ruangannya. Tugas sdr/i sebarkan blog ini kepada rakan-rakan dan kita rangkumkan kekuatan itu bersama-sama. e-mail : keadilankp@yahoo.com
DATO’ JANGAN MENGICUH !
Adapun pepatah orang tuo-tuo, “orang memegang adat dalam negori atau lopak masing-masing, engkau janganlah mengubah janji atau mengicuh orang atau menganiaya orang. Janji ditepati dan utang dibayar, piutang diterima, menyelang memulangkan, lopak orang jangan dikocak.Juga, sebagai ketua adat dia juga perlu mempunyai akal budi yang siuman dan timbangan yang ADIL kepada anak buah. Wajib baginya menimbang buruk dengan baik, melarat dan manfaat tinggi dan rendah, menimbang rugi dengan laba. Selalu berniat dalam hati supaya bumi senang padi menjadi, anak buah kembang biak, hukum ADIL adat berdiri.Apa bila Dato’-dato’ adat ini merapu, buat kerja yang tidak sepatutnya beliau lakukan, atau menunjuk kuasa yang dia orang bergolar, tetapi tak kena dengan gayanya, nanti akan jadilah dia Dato' yang bernama PENGALAH (suka kacau orang).Khabarnya dalam suatu Ceramah PAS pada 29hb yang lalu, beliau cuba untuk menghalang ceramah tersebut daripada berlangsung dengan menggunakan kuasa yang ada padanya. Namun ceramah berjalan terus, tak ke memalukan diri? Bukankah mencabik baju didada? Menepuk air dalam dulang? Tidakkah Dato’ ini perasan bahawa kuasa yang ada pada Dato’ ini dah dicabut dek penjajah dulu? Kini hanya tinggal mengurus tanah pusako, nikah kahwin dan juga sebagai tinggalan nenek moyang kito macam muzium hidup yang dipertonton pelawat luar negeri. Maka ada lebih baik Dato’ ini memanjangkan akal macammano nak memperkasakan semula institusi ini supaya lebih disanjung dan dihormati malah diadatkan semulo oleh anak buah dan ada keberanian untuk mengubah adat lamo yang bersesuaian pula dengan zaman, seperti yang telah dibuat oleh Pak HAMKA dan kawan-kawannya yang merevolusikan adat di Tanah Minagkabau.Suka kita peringatkan kepada Dato’ adat ini supaya jangan jadi bebal tanda orang tidak berakal atau punya akal sejengkal kerana menghalang orang membuat kebaikan.Jika begini perangainya Dato’-Dato Adat ini, akan lenyapkah ADAT PERPATIH ? ?

BUKTI SALAH GUNA KUASA

Isnin, 2009 November 16

KURSUS SINGKAT FACE-BOOK

K ursus singkat pengenalan FACEBOOK akan diadakan pada 20hb. November 2009 (Jumaat) bermula jam 9,00 pagi hingga 11.00 pagi di KP Net Centre, Kuala Pilah. Ahli-ahli adalah digalakkan untuk menyertai kursus ini dan sila maklumkan kepada saya untuk tempahan tempat.

KONVENSYEN PKR N. SEMBILAN

K onvensyen PKR Negeri Sembilan akan diadakan seperti butiran berikut:-

Tarikh : 22hb. November 2009 (Ahad)
Masa : 8.00pagi - 5.30ptg
Tempat: Sek. Men. Tinggi Chung Hua Seremban.
Ucaptama: Dato' Seri Anwar Ibrahim (Ketua Umum PKR)

Cabang Kuala Pilah akan menghantar 50 orang perwakilan dan ahli-ahli yang berminat untuk turut serta, sila hubungi saya melalui tel: 012-3841364 dengan kadar segera sebelum 18/12/2009. Terima kasih.

Rabu, 2009 November 11

PROF DR YUSUF QARDHAWI JUGA DI COP WAHABI

M eninjau kembali sejarah dan liku-liku perjuangan Prof Dr Yusuf al-Qardhawi, seseorang itu pasti akan menimba pelajaran yang sangat besar dari tokoh besar ini. Kehidupannya yang penuh dengan ilmu dan dakwah, membentuk diri beliau sebagai seorang sarjana dan ilmuan islam yang disegani pada zaman ini.

Ketika anak-anak murid beliau mengadakan seminar memperingati jasa dan ketokohan beliau serta menamakan beliau sebagai Al-Imam. Air mata beliau menitis deras membasahi janggutnya, kemudian tokoh besar ini berkata, “Sesungguhnya tidaklah layak aku memakai gelaran ini. Aku hanyalah seorang penuntut ilmu, dan akan terus menuntut ilmu hingga akhir hayatku.”

Kesarjanaan dan ketokohan beliau telah diakui oleh beratus malahan beribu ulama besar yang lain di seluruh dunia. Beliau yang sering dijoloki dengan gelaran Al-Imam Al-Wasatiyah (Imam yang bersederhana) bukan sahaja memberi pengaruh yang besar dalam dunia intelektual, malahan memberi sumbangan dalam dunia politik Islam.

Namun begitu, tokoh Ilmuan Islam ini semasa mudanya menempuhi pelbagai dugaan dan cabaran bukan sahaja dari luar malahan dari dalam pusat pengajiannya. Suatu ketika dahulu, beliau berhadapan dengan pelbagai konterversi hanya kerana beliau menegur gurunya berkaitan dengan perkara khurafat yang berlaku di sekitar Mesir. Atas peristiwa ini, beliau digelar oleh gurunya dengan gelaran Wahabi!

Bukan setakat di bilik darjah, di tempat tinggalnya juga beliau terpaksa menangani kekecohan dari penduduk tempatan yang mendakwa beliau telah menghina para ulama kerana mengeluarkan pandangan yang berbeza.

Dalam Mukadimah buku beliau Fatwa Mu’asarah, beliau menulis, “Pada mulanya saya menimbulkan kekecohan di kalangan orang ramai. Mereka tertanya-tanya: “Bagaimana pemuda ini berani berbeza pandangan dengan syeikh-syeikh besar? Bagaimana dia mengajar orang-orang bukan daripada kitab-kitab muktabar? Bagaimana dia boleh mengeluarkan pandangan-pandangan yang sebelum ini belum pernah kami dengar?” Saya menghadapi hal ii dengan penuh tabah sambil mempertahankan pandangan. Saya katakana kepada orang-orang yang tidak bersetuju: “Di antara saya dan kamu ialah al-Quran dan Sunnah. Oleh itu marilah kita kembali kepadanya.”

Prof Dr Yusuf al-Qadhawi mengharungi tuduhan dan fitnah ini dengan penuh takwa dan sabar. Kerana beliau sedar dan yakin bahawa hak sentiasa akan ditentang oleh kebatilan. Malahan al-Quran dan as-Sunnah telah menceritakan bagaimana sukarnya perjuangan Nabi Muhammad shallahu-alaihi wasalam menyebarkan risalah tauhid dan membersihkan kesyirikan manusia ketika itu. Kerana yakin dan tahu bahawa hanya kebenaran yang dibawa, Prof Dr Yusuf al-Qardhawi tidak berganjak dengan prinsip dan seruan tajdidnya(pembaharuan) terhadap agama. Kesungguhan dan keyakinan beliau terhadap seruan kembali kepada al-Quran dan Sunnah (tajdid) atas prinsip dan kefahaman para sahabat dan tabien, telah memberi pengaruh yang besar dalam dunia Intelektual Islam.

Jika disoroti perjalanan dakwah dan kesarjanaan Al-Qardhawi, ia hanyalah kesinambungan dan kelansungan perjuangan Ulama-ulama besar sebelum beliau. Misalnya al-Imam Ibnu Taimiyah dan al-Imam Ibnu al-Qoyim yang sinonim dengan gerakan Tajdidnya dan usaha mereka memerangi syirik dan bid’ah.Tuduhan dan fitnah yang sentiasa bermain di bibir masyarakat kepada al-Qardhawi masih wujud sehinggalah masa kini, setelah beliau dikenali sebagai Sarjana dan Ilmuan Islam besar. Istilah-istilah Wahabi masih lagi terus wujud dan diletakkan di bahu beliau. Malahan tuduhan bahawa beliau Muktazilah serta kafir turut berlegar di kalangan mereka yang membenci tokoh ini. Namun, beliau tidak pernah beranjak sedikit pun dari prinsip dan perjuangannya. Walau ditohmah dan dituduh dengan gelaran Wahabi dan sebagainya, beliau tidak pernah menganggapnya sebagai batu penghalang kepada seruannya kepada umat Islam agar kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Menariknya apabila ditanya kepada beliau tentang Muhammad bin Abdul Wahab, seorang tokoh islam yang dituduh dengan pelbagai tuduhan serta mengaitkan tokoh ini dengan gelaran Wahabi. Al-Qardhawi menjawab dalam bukunya Feqh al-Auliyat (Feqah keutamaan) , “Perkara pokok dalam da'wah Imam Muhammad bin Abd al-Wahhab di Jazirah Arabia ialah pada bidang aqidah, untuk menjaga dan melindungi tauhid dari berbagai bentuk kemusyrikan dan khurafat yang telah mencemari sumbernya dan membuat keruh kejernihannya. Dia menulis berbagai buku dan risalah, serta menyebarkan dan mengamalkannya dalam rangka menghancurkan berbagai gejala kemusyrikan.”Justeru, jika ada tokoh atau Sarjana Islam yang membawa misi yang sama dan seruan yang sama maka bersiap-siaplah untuk mendapat gelaran Wahabi; yang anda sendiri tidak tahu menahu tentang terminologi ini.Kepada mereka yang suka bermudah-mudah dan ringan mulut memburukan dan membuat tuduhan di atas nama agama. Marilah kita muhasabah dan bersikap amanah dalam menyebarkan ilmu. Buangkan prasangka, sikap ujub serta tabiat melabel-labelkan orang, lebih-lebih lagi apabila kita bercakap atas tiket agama. Firman Allah dalam surah al-Hujrat ayat 12, “hai orang-orang yang beriman. Jauhilah banyak bersangka-sangka, kerana sesungguhnya sangkaan itu berdosa”Dikuatkan lagi dengan pesanan Nabi Muhammad shallahu-alaihi wasalam, “Hati-hatilah kamu terhadap prasangka, kerana sesungguhnya prasangka itu adalah sedusta-dusta perkataan” (Hadith direkodkan Imam Bukhari).

Maka beruntunglah mereka yang tetap di jalan kebenaran, dan jika anda berani untuk mengaku sebagai wahabi, hafallah dan telanlah ucapan HAMKA ini sebagai panduan apabila diasak dengan soalan, “Adakah anda Wahabi?.”“Bagi kami yang dikatakan kaum muda itu tidaklah keberatan jika dituduhkan Wahabi. Kalau 20 atau 30 tahun yang lalu semasa pengetahuan agama hanya boleh dipercayai oleh mufti-mufti sahaja, mungkin orang takut dikatakan Wahabi. Tetapi sekarang orang telah tahu bahawa Wahabi tidak lain adalah daripada penganut Mazhab Hanbali yang keras mempertahankan Sunnah. Dan yang berpengaruh memperbaharui (Tajdid) faham Mazhab Hanbali itu ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qoyim. Oleh sebab itu bagi kami dituduh Wahabi bukanlah satu penghinaan.” (Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah dalam tulisannya terhadap Mufti Johor as-Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad pada tahun 1958)

Oleh : Yussamir Yusof
Sumber: http://www.yussamir.com/

Isnin, 2009 November 09

TAHNIAH PASUKAN BOLASEPAK N. SEMBILAN

K emenangan Negeri Sembilan menjuarai Piala Malaysia tentunya sangat membanggakan rakyat Negeri Sembilan. Kemenangan ini sesuatu yang amat besar ertinya dalam bidang sukan khususnya Bolasepak dinegeri ini. Kerana inilah pertama kali dalam masa 61 tahun piala kemegahan negara dalam dakapan Negeri Sembilan. Dulu dalam tahun 1948 Negeri Sembilan menjuarinya yang dinamakan Piala HMS, ketika itu ramai dikalangan peminat termasuk saya masih belum dilahirkan. Suasananya tentu berbeza. Terus terang saya katakan saya tidak lagi berminat untuk menonton bolasepak, dan saya terperanjat bila membaca akhbar, Negeri Sembilan bertemu Kelantan di perlawanan akhir, ini kerana tidak mengikuti perkembangan sejak awal. Kemerosotan persembahan pasukan Kebangsaan semenjak pertengahan tahun 80han hingga kehari ini dan juga mutu permainan pasukan negeri-negeri yang sangat rendah menyebabkan ketagihan menonton sudah tiada lagi. Namun kemenangan N. Sembilan itu sedikit sebanyak menerbitkan minat untuk bercerita mengenai bolasepak yang menjadi permainan utama negara. Tetapi sayang anak-anak muda kini lebih berminat di padang Futsal yang kelihatan membunuh permainan bolasepak sebenar. Rakyat Negeri Sembilan pula tidak diajak bersama meraikan kejayaan itu, takdak cuti... Dulu semua kenal dari penjaga gol (Arumugam) hingga Striker (Mokhtar), kini kalau tanya saya siapa penjaga gol dan striker NS ? Jawabnya ONTAH! Walaubagaimanapun SYABAS anak muda Negeri Sembilan.

Khamis, 2009 November 05

KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA

P enahanan Dr Mohd Asri Zainul Abidin bekas Mufti Negeri Perlis oleh pihak Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) telah menimbulkan kekeliruan dikalangan masyarakat Islam terutama di Negeri Selangor.

Selaku individu yang berada ditempat berlakunya majlis ilmu berkenaan, saya rasa terpanggil untuk menjelaskan beberapa perkara yang mengelirukan berdasarkan kepada beberapa laporan akhbar yang saya rasa telah memetik dari sumber yang cuba melindungi kejadian sebenar yang berlaku.

Tetapi apa yang dikesalkan ialah cara pihak JAIS menjalankan operasi penahanan adalah tidak professional dan mempamerkan kelemahan yang tidak sepatutnya wujud dalam organisasi yang tinggi tarafnya seperti JAIS.

Lebih menghairankan apabila ditahan, pihak JAIS gagal menyediakan kertas pendakwaan bagi mengaitkan Dr Asri dengan sebarang kesalahan melainkan dengan alasan mengajar tanpa tauliah.

Sepatutnya penahan dibuat setelah terbukti sesorang itu telah melakukan kesalahan. Agak menyedihkan dalam kes ini sewaktu mahu menahan Dr Asri, kelihatan pegawai JAIS sendiri tidak membuat persediaan dan sering menggunakan telefon bagi mendapat arahan dari pegawai atasan yang dipercayai ialah Pengarah JAIS sendiri iaitu Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Bagi saya tindakan JAIS yang menggunakan khidmat polis pada malam kejadian juga adalah satu tindakan yang melampau dan meletakkan Dr Asri pada kedudukkan yang tidak sepatutnya memandangkan sebelum ini beliau telah diberi kepercayaan oleh Tuanku Raja Perlis untuk menjaga persoalan berkenaan agama Islam di Negeri Perlis sendiri.

Sepatutnya sebagai seorang bekas Mufti dan memiliki pendidikan sehingga kepada peringkat Doktor Falsafah berkenaan Islam, beliau dialu-alukan untuk mendidik masyarakat. Adakah semua ini masih lagi tidak melepasi kelayakan yang diperlukan oleh JAIS untuk seorang seperti beliau bagi menyampaikan dakwah di Selangor.

Disini saya bertegas mendesak Pengarah JAIS menjelaskan apakah garis panduan yang digunapakai oleh pihaknya untuk melayakkan seseorang itu boleh ditauliahkan untuk memberi kuliah di Selangor.

Berdasarkan kepada maklumat yang diperolehi, sehingga kini terdapat lebih kurang 7 orang Ustaz yang diantaranya adalah pensyarah Universiti Islam Antarabangsa dan telah gagal mendapat tauliah untuk mengajar di Selangor tanpa alasan yang kukuh dan bertulis.

Dengan adanya garis panduan tersebut JAIS akan dapat membendung amalan mengikut selera Pengarah JAIS dan memberi keadilan kapada cendekiawan seperti Dr Asri untuk menyampaikan ilmu.

Dalam tempoh terdekat, pihak ahli parlimen Pakatan Rakyat Selangor akan menghantar petisyen kepada Duli Yang Teramat Mulia Sultan Selongor agar menilai semula kedudukan dan fungsi Pengarah JAIS yang jelas telah menjejaskan kedudukan Baginda selaku penaung kepada perkembangan Islam di Negeri Selangor yang bertuah ini.

Melalui kenyataan media ini juga saya ingin menafikan laporan Malaysiakini yang memetik kenyataan Pengarah JAIS bahawa saya dan seorang lagi rakan YB Shaari Sungip telah menghalang tugas pegawai JAIS untuk menjalankan tugas sehingga terpaksa menggunakan polis.

Apa yang berlaku ialah saya dan YB Shaari Sungib cuba untuk menenangkan keadaan kerana para jemaah ketika itu terkejut dengan serbuan yang dilakukan dengan kasar dan biadap oleh saudara Shahrom penolong pengarah penguatkuasa JAIS yang mengaku mempunyai ijazah dari Universiti Al Azhar.

Untuk itu, saya mengesa agar Pengarah JAIS yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan ini menarik balik dakwaan beliau. Sebaliknya beliau perlu lebih teliti dalam mengeluarkan kenyataan kerana beliau membawa imej JAIS yang dipandang tinggi oleh umat Islam.


Tarikh: 4 November 2009

ZURAIDA KAMARUDDIN
Ahli Parlimen Ampang
Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat

Isnin, 2009 November 02

PGSM BERDOLAK-DALIK DAN MENGELIRUKAN

P ersatuan Peguam Syarie (PGSM) dalam Kenyataan Medianya semalam (Ahad 1hb November 2009) memperlihatkan kecelaruan mereka. Dalam Memorandum yang dihantar kepada DYMM Yang DiPertuan Agong, persatuan itu bersama-sama dengan NGOs yang lain memohon kepada Yang DiPertuan Agong supaya menarik balik perlantikan Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin sebagai Yang Di Pertua YADIM. Tetapi dalam Kenyataan Medianya pula menyatakan bahawa Jawatan Yang DiPertua YADIM masih belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak Kerajaan. Oleh yang demikian bagaimana boleh pihak PGSM mengutus memorandum kepada Agong supaya menarik balik Jawatan tersebut??. Selain itu PGSM dalam kenyataannya melahirkan rasa kecewa atas sikap Dr. Asri yang dikatakan cuba membesar-besarkan isu tersebut dan cuba mengheret masyarakat awam dan mencari publisiti. Bila isu ini diketahui ramai, PGSM mula gelisah, Memo yang dipaparkan dalam Web-site persatuan itu dikeluarkan dengan serta merta dengan alasan teknikal. Apabila mereka sendiri celaru dan kelam kabut, Dr. Asri pula dituduh sebagai mencari publisiti. Lagi, PGSM mendakwa memorandum kepada YDP Agong adalah atas niat baik supaya kesepaduan umat Islam di Malaysia atas pegangan ahli sunnah wal jamaah TIDAK dirobek dan dimusnahkan oleh pendekatan yang tidak mengikut arus perdana dan tidak mahu suasana kacau bilau dalam amalan beragama berlaku di Malaysia. Jelas PGSM mengamalkan pendekatan songsang dalam memimpin Umat Islam dengan menjadikan ARUS PERDANA sebagai ikutan dalam beragama bukannya ikutan Qur'an dan Hadits.

Ahad, 2009 November 01

ULAMAK DIMUSUHI

P enangkapan Bekas Mufti Perlis Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin semalam di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang ketika menyampaikan kulian kepada 200 orang oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor tidak menghairankan. Kerana selagi sistem penjajah menjadi amalan pemerintah, selama itu para pengembang Agama yang bertentangan dengan pemerintah akan terus diburu. Apatah lagi penentang yang berada dikiri kanan akan sentiasa menjalankan peranan mereka sebagai kaki kipas dan pengampu dan membisikkan kepada orang atasan supaya suatu hukuman dikenakan kepada mereka. Turut bersama dalam kuliah beliau ialah Ketua Wanita Keadilan Pusat, YB Puan Zuraida Kamarudin dan Adun Ulu Kelang, YB Shaari Sungip. Sebelum itu Persatuan Peguam Syarie Malaysia yang diketuai oleh Persidennya Mohamad Isa Abd. Ralip yang mendakwa bersama-sama dengan 13 NGOs yang lain (Persatuan Pegawai-pegawai Syariah Malaysia, Yayasan Sofa NS, Yayasan Jenderami, MUAFAKAT, Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Alumni Kolej Islam (ALKIS), Jamaah Islah Malaysia (JIM), Persatuan Ulamak Malaysia, Yayasan Paksi Kedah, Persatuan Ulamak Kedah, Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), telah menyerahkan suatu Memorandum kepada Yang DiPertuan Agong meminta Baginda menarik balik perlantikan Dr. Asri sebagai Yang Di Pertua YADIM. Memorandum tersebut disiarkan dalam website Persatuan Peguam Syarie Malaysia, namun kemudian ia ditarik balik atas alasan teknikal. Kami percaya mereka terpaksa menarik balik memorandum itu daripada tersiar kepada orang ramai, kerana bimbang hujjah longgar yang mereka kemukakan dalam memorandum itu akan diketahui ramai dan akan memalukan Persatuan itu sendiri. Namun kami berkesempatan untuk mendapatkan salinanya, dan memang terbukti bahawa mereka-mereka itu sangat bimbang dengan kebangkitan Gerakan Pembaharuan yang dibawa oleh Dr. Asri dan kawan-kawannya itu akan menggugat kesenangan yang mereka nikmati sekarang. Mereka juga bimbang warisan nenek moyang yang menjadi amalan masyarakat Melayu zaman berzaman yang sarat dengan amalan animisma ditinggalkan Umat Islam dan kembali kepada Al-Qur'an dan Sunnah. Kami juga percaya laporan polis dibuat oleh mereka yang iri hati dengan perkembangan pesat gerakan pembaharuan ini, terutama mereka yang mensebatikan diri mereka dengan kubur-kubur dan beraqidah bahawa Rasulullah saw masih hidup dan boleh datang kepada siapa yang yang Baginda mahu, seperti kepercayaan kaum tarikat yang berselerak di Negeri Sembilan ini. Apatah lagi sekarang ini seorang yang diangkat sebagai Syeikh Besar tarikat tersebut sedang bergerak di Gombak dengan menjadikan Agama sebagai sumber pendapatan. Ini ditegaskan oleh Dr. Asri bahawa institusi Agama dilihat sebagai ruang membuat keuntungan kepada sebuah akhbar. Oleh yang demikian, kami menyeru kepada Dr. Asri dan kawan-kawannya agar tabah menghadapi dugaan ini dan kami akan bersama bagi membebaskan pemikiran kolot dan jumud sebahagian bangsa Melayu yang sudah lama terjajah dan bertaklid buta.

Sabtu, 2009 Oktober 31

KO-PILAH GANYANG PENGANJUR

Sahabat KOPILAH dalam blognya memberikan komen yang cukup tepat tentang apa yang berlaku di Majlis Jamuan Makan Rakyat di Mini Stadium Kuala Pilah bagi meraikan Hari Pertabalan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 yang lalu. Penganjur Majlis Dato-Dato Kurnia yang diketuai oleh Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar tidak langsung mempedulikan Tema Majlis tersebut dan lebih bersifat mengampu. Dalam sebuah akhbar Cina pula, disiarkan beberapa orang pimpinan MCA Kuala Pilah tidak dihiraukan dan terpaksa berdiri sehingga majlis selesai tanpa makan dan minum. Ribuan rakyat yang hadir terpaksa pula bersesak dan merebut makanan yang dibungkus dan ramai yang kempunan, sedangkan pada suatu tempat khas yang lain disediakan penganjur, pemimpin-pemimpin UMNO dan orang-orang kenamaan dihidangkan dengan makanan dengan begitu selesa dan aman. Beginilah PENCAPAIAN DIUTAMAKAN, RAKYAT DIDAHULUKAN.... (Chisss)

BILA FIRST LADY BERKATA....

K
UALA LUMPUR: Malaysia dengan kerjasama Sweden bakal mengadakan pertunjukan fesyen busana Muslim di Monte Carlo, Monaco, tahun depan. Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata pertunjukan fesyen busana Muslim itu adalah landasan utama bagi memperkenalkan Malaysia sebagai NEGARA ISLAM selain bertujuan mengutip dana untuk disalurkan pada tabung kebajikan. …………………………

Kata Datin Seri seterusnya; “Pendekatan memperkenalkan Islam melalui pertunjukan fesyen adalah strategic kerana ia mampu membuka mata masyarakat luar berhubung etika pakaian umat Islam”…………

- Berita Harian , 30 Oktober 2009
Apa komen tuan/puan yang bijaksana??

Khamis, 2009 Oktober 29

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PKR – DATO’ SERI WAN AZIZAH WAN ISMAIL

R ombakan kepimpinan Keadilan telah menimbulkan kekeliruan dan keresahan di kalangan tertentu. Saya sepenuhnya menyedari bahawa tidak semua akan berpuas hati dengan keputusan yang dibuat kepimpinan parti serta menghargai betapa sukarnya kami untuk membuat keputusan dengan meneliti setiap pandangan yang disampaikan, termasuk dari cabang-cabang yang menjadi tulang belakang parti, di samping memastikan parti mencapai matlamatnya.


Tatkala parti kita mulai berkembang dan menjelma menjadi sebuah organisasi yang disegani dan dihormati, sememangnya kita akan menempuh saat sukar untuk mencipta kesimbangan kepimpinan yang terbaik dan strategi yang ampuh untuk mengangkat kita ke tahap perjuangan seterusnya. Sepanjang itu kita telah menempuh pelbagai cabaran serta menemui bakat-bakat baru yang komited dengan perjuangan parti. Kita perlu bekerja kuat untuk mencapai apa yang dicita-citakan dan keputusan yang dibuat minggu ini dibuat selepas mendapat mandat dan berdasarkan semangat musyawarah dalam parti.

Keadilan ditubuhkan untuk menjadi wadah penyatu kepada semua Rakyat Malaysia merentasi batas agama dan kaum serta mengembalikan keutuhan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Perjuangan ini ternyata bukan tugas mudah dan merupakan satu tanggungjawab serta cabaran kepada semua pendokong Keadilan.

Beberapa tahun lalu ramai yang mencemuh kita kerana kesungguhan perjuangan Keadilan yang berhasrat untuk menamatkan politik perkauman sempit dan membanteras amalan rasuah. Namun bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, kita telah melakarkan kejayaan bersejarah demi memulihkan demokrasi, kebebasan dan kedaulatan undang-undang. Kejayaan tersebut kita kecapi walaupun tidak mendapat sokongan media arus perdana dan berhadapan dengan segala kekuatan serta serangan bertali arus institusi kerajaan yang dikongkong pimpinan Umno-Barisan Nasional.

Sememangnya kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah yang mengecewakan selepas pilihanraya umum Mac lalu. Perjuangan politik kepartian terbukti berhadapan dengan jalan berliku, dan permuafakatan politik tidaklah menjelma sekelip mata. Kekecewaan yang diluahkan oleh sebilangan rakan dan ahli parti ada asasnya. Walau bagaimanapun saya sedia berbincang dengan semua pihak didasari rasa hormat, persefahaman dan iltizam menegakkan keadilan.

Masa hadapan negara ini, perjuangan kita serta Pakatan Rakyat tidak bergantung kepada mana-mana individu. Saya menyeru agar semua berpegang teguh dan tetap bersabar memastikan kejayaan perjuangan kita demi Rakyat Malaysia.

WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden
Parti Keadilan Rakyat

29 Oktober 2009

Isnin, 2009 Oktober 26

YB ADUN JOHOL SAKIT !

D alam posting saya 20 Oktober yang yang lalu, dinyatakan bahawa ADUN Johol, YB Datuk Roslan Yusof dalam keadaan sejat walafiat berikutan spekulasi menyatakan bahawa beliau sakit dan tidak upaya menjalankan tanggung jawab sebagai seorang Wakil Rakyat. Atas kepercayaan kepada akhbar yang melaporkan berita tersebut dan dibaca oleh ribuan orang, maka saya tidak percaya bahawa pembohongan boleh berlaku. Kerana bagi saya wartawan yang melapor harus bersifat sebagai seorang hakim, bukan sekadar mendapatkan bahan berita dan melaporkan juga walaupun ia pahit dan tidak menguntungkan sesetengah pihak. Manakala sudah tersiar, ia menjadi bacaan umum dan suatu kepercayaan. Tetapi apa yang telah tersiar, berlaku sebaliknya. Maka pembohongan sudah tersebar, maka penghidupan kita sudah dikelilingi dengan pembohongan. Beberapa hari selepas itu, keluar pula kenyataan dari MB N. Sembilan bahawa ADUN Johol tersebut selamat menjalani pembedahan. Maka benarlah spekulasi sebelum ini bahawa YB ADUN Johol itu sakit. Apa salahnya berterus terang saja tanpa disembunyi-sembunyikan supaya urusan rakyat dapat dipertanggungjawabkan, termasuk urusan ziarah pesakit sehingga tidak kita tertanya-tanya sakit atau tidak! Kita tidak pula mengharapkan sesuatu yang tidak baik kepada YB Datuk Roslan. Semoga beliau beransur sembuh.

Sabtu, 2009 Oktober 24

MENJUNJUNG KASIH

K etua dan Ahli Jawatankuasa serta seluruh ahli PKR Cabang Kuala Pilah mengucapkan tahniah dan dirgahayu kepada Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang ditabalkan sebagai Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus yang ke-11 hari ini 26hb. Oktober 2009. Kami mendoakan agar Allah SWT menganugerahkan pimpinanNya dan kesejahteraan kepada Baginda dalam pemerintahannya untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.
-
Kota Pulai di Kota Alam
Batangnya Bersendi-sendi
Jika belajar dalam alam
Patah tumbuh hilang berganti.

Selasa, 2009 Oktober 20

ADUN JOHOL SEHAT SEJAHTERA

A DUN Johol, Datuk Roslan Md Yusof yang digembar-gemburkan sakit tenat sebenarnya sehat sejahtera, ini dibuktikan dengan gambar dalam Akhbar Sinar bertarikh 16 Oktober yang lalu ketika beliau menyambut Isteri Menteri Besar N. Sembilan di Bengkel Sri Perkasa Johol. Dengan bukti bergambar itu oleh sebuah Akhbar yang mendapat tempat dihati masyarakat disini akan mematikan spekulasi bahawa beliau sakit tenat dan tidak akan berlaku satu lagi PRK di Negeri Sembilan. Semoga YB Datuk Roslan akan lebih cergas dan bertemu rakyat dalam kawasannya.

MUKADIMAH

Saya amat bersyukur kerana berkesempatan untuk menemui saudara/i rakan REFORMIS dimana jua berada bagi sama-sama menyumbang buah fikiran untuk turut serta membentuk MALAYSIA BARU dan memartabatkan Rakyat Malaysia pada tempat yang sewajarnya. Sudah sampai masanya seperti yang sering kedengaran, PERUBAHAN wajib berlaku, kerana tidak selamanya kita harus ditindik hidung oleh pemerintah yang rakus, yang mengambil enteng kebajikan RAKYAT. Peristiwa 1998 memberi banyak erti kepada seluruh rakyat tentang erti kebebasan, kita juga mengerti bahawa kebebasan yang pasti mempunyai keterbatasan dalam sudut kemanusiaan, tetapi bukan untuk dibonceng selama-lamanya dan menjadi Pak Turut sepanjang hayat. Rakyat Kuala Pilah, sudah semestinya tidak harus ketinggalan dalam arus perubahan ini, dan semenjak tahun 1998 Parti Keadilan Rakyat Kuala Pilah terus bergerak dalam keadaan apacara sekalipun bagi memandu rakyat, sehingga kesaat ini masih segar dan semakin mendapat sinaran cahaya kegemilangan, dan kita amat percaya SINAR KEGEMILANGAN pasti akan muncul. Saya mengalu-alukan rakan sealiran untuk menyumbang buah fikiran khusus yang berada di Kuala Pilah untuk turut sama berdiskusi dalam blog ini dan memberikan tunjuk ajar kepada saya melalui e-mail keadilankp@yahoo.com dan akan disiarkan. Sekian untuk prakata. Wassalam