Khamis, 13 November 2008

SEJARAH MASJID KUALA PILAH

Masjid Bandar Kuala Pilah asalnya terletak di pinggir Sungai Muar, dibelakang Pejabat Daerah Kuala Pilah sekarang, yang dikenali sebagai Masjid To’ Muar. Masjid ini dikatakan telah dibangunkan sebelum tahun 1900 yang mengambil nama seorang Penghulu Luak Ulu Muar yang pertama yang bernama Dato’ Muar Bongkok Abdul Malik yang hidup sekitar tahun 1839 dan dikatakan beliau disemadikan dikawasan masjid tersebut. To’ Muar Bongkok ini pula sezaman dengan Yam Tuan Radin iaitu Yam Tuan N. Sembilan Yang ke Empat Menurut cerita orang-orang dahulu, pedagang-pedagang terutama dari Johor dan Melaka menggunakan laluan sungai ini dan singgah untuk berdagang dengan peduduk tempatan. Dengan kepesatan urus dagangan waktu itu, mereka mendirikan sebuah surau dan lama kelamaan jadilah ia sebuah masjid bagi Penduduk Kuala Pilah.

Dalam tahun 1937, lahir pula satu cita-cita yang ingin melihat terdirinya sebuah lambang Islam bagi daerah ini dan bagi keperluan umat Islam Kuala Pilah yang semakin berkembang, tetapi cita-cita itu berkecai dimamah zaman, mereka yang mengerakkan azam tersebut ialah Almarhum Tunku Laksamana Abdul Kahar Ibni Almarhum Yam Tuan Antah (Penaung), Aly. Dato’ Pengaman Ismail bin Dato’ Laksamana Manat (Ketua) Tuan Kadhi Aly. Hj. Sulaiman Othman, Tengku Husin bin Tengku Yahaya, Tuan Sheikh Tahir bin Laba (Setiausaha) dan beberapa orang kenamaan yang lain

Jawatankuasa tahun 1964

Apabila tamat penjajahan Jepun keatas Tanah Melayu, cita-cita tersebut masih tidak kesampaian, dan muncul lagi azam tersebut pada tahun 1947, dan Jawatankuasanya silih berganti sehingga terbentuk satu lagi Jawatankuasa yang diketuai oleh En. Ismail Ibrahim sehingga terbenanya sebuah Masjid Baru bagi penduduk daerah ini pada tahun 1966.

Bagi mengekalkan perjalankan Masjid To’ Muar dan tidak ditinggalkan kosong, pengurusan Masjid tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Polis Daerah Kuala Pilah mulai 16hb. Februari 1957 dengan suatu perjanjian yang tertentu dan dijadikan Madrasah Polis Kuala Pilah.



DYMM Yang DiPertuan Besar N. Sembilan meletakkan Batu Asas

Menurut Dato’ Hj. Yahya Hamid, Nadzir Masjid Jame’ Kuala Pilah sekarang, pada tahun 2006 pengurusan Masjid To’ Muar tersebut telah diserahkan pula oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan sebagai Pemegang Amanah kepada Yayasan Kasih Sayang yang dipimpin oleh En. Muhammad Adnan Bin Abdullah sebagai Presiden, dan masjid lama ini dibaikpulih dan masih mengekalkan reka bentuk asal. Yayasan tersebut memberi tumpuan kepada saudara baru Islam dalam soal kebajikan, bimbingan dan sebagainya. Maka Masjid To’ Muar terus berfungsi sehinggalah sekarang.

Tanggal 10hb. Oktober 1964 merupakan hari bersejarah bagi Kuala Pilah, bila batu asas telah diletakkan oleh DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Munawir Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Kerja-kerja pembinaan dimulakan awal tahun 1965 dengan kos sebanyak RM 209,212.50

Masjid Baru ini telah mengambil nama Yang Di Pertuan Besar Seri Menanti iaitu gelaran yang ke empat dari salasilah Raja-raja yang memerintah Negeri Sembilan. tahun 1824-1861, iaitu Masjid Jame’ Yam Tuan Raden.

Masjid Jame' Kuala Pilah yang baru.

Maka hari yang bersejarah bagi penduduk Kuala Pilah iaitu pada 23 Januari 1966 bersamaan 1 Syawal 1385, mereka pertama kali mendirikan Solat Aidil Fitri di Masjid tersebut, dan mendirikan Solat Jum’at pada 4 March 1966. Mulai tahun tersebut, perkembangan Masjid Jamek Yam Tuan Raden terus berjalan lancar dan beberapa tambahan infrastruktur bagi keperluan jamaah.

1 ulasan:

  1. sila masukkan senarai imam besar masjid jame yamtuan raden kp.....nk tgk Hj Husein B. Hj Abd Karim imam ko brapo......

    BalasPadam