Khamis, 6 Ogos 2009

SEMAKAN SENARAI NILAIAN HARTA OLEH MDKP

Seramai hampir 200 orang hadir di dewan MDKP pada 5hb. Ogos lalu bagi mendengar penjelasan mengenai semakan semula Nilaian Harta dalam kawasan Majlis Daerah Kuala Pilah bermula jam 10 pagi. Perjumpaan yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Rakyat Prihatin Kuala Pilah bertujuan untuk menyatakan rasa gelisah dan bimbang Pemilik Harta mengenai kenaikan tersebut yang sekaligus kadar taksiran cukai turut akan naik. Menurut Sdr. Ruzaili Karim, para pemilik harta tidak keliru seperti yang didakwa, malah amat memahami bahawa notis yang dikeluarkan oleh MDKP adalah nilaian terbaru mengikut pasaran semasa, tetapi apa yang dibimbangkan ialah cukai taksiran bagi tahun 2010 akan turut meningkat, walaupun peratus cukai taksiran akan dikekalkan atau kemungkinan cukai tersebut akan dinaikkan tetap ada. Beliau turut menyatakan kehairanan, dalam majlis penerangan tersebut semua telah dimaklumkan bahawa pemilik harta boleh membuat bantahan jika tidak bersetuju dengan nilaian terbaru itu, namun dalam kenyataan Yang DiPertua Majlis Daerah Kuala Pilah dalam Akhbar Sinar hari ini menyatakan bahawa Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan telah meluluskan senarai nilaian baru tahun 2010 dan keputusan tersebut telah diwartakan dalam warta kerajaan Negeri. Dalam hal ini Sdr. Ruzaili mempersoalkan siapakah yang mengelirukan orang ramai. Pada akhir perjumpaan tersebut En. Lim Hong Guan yang mewakili semua yang hadir menyerahkan surat bantahan kepada MDKP.

1 ulasan:

  1. Tahniah warga Pilah yang sedar tentang hak dan tanggungjawab mereka sebagai warga negara. Syabas, kerana berani menyatakan sikap dan pandangan secara sopan dan beradab. Negara memerlukan rakyat yang sebegini untuk mencorak kebangunan suatu generasi hebat masa depan.Marilah kita sama-sama merealisasikan erti kemerdekaan dalam diri kita. Dan marilah kita pamerkan makna dan rupa kemerdekaan di kalangan masyarakat. Marilah sama-sama kita membina warga Malaysia yang bertamadun.

    SELAMAT MENYAMBUT KEMERDEKAAN KE 52

    BalasPadam