Isnin, 10 Ogos 2009

AJARAN TANPA TAULIAH ?

Wah! Ada satu lagi istilah yang diciptakan Jabatan Agama iaitu Pengamal Ajaran Tanpa Tauliyah. Ini berikutan tangkapan seramai 20 pelajar lelaki dan perempuan yang berpendidikan tinggi di Taman Perindustrian Okland, Seremban semalam dan identiti ajaran mereka tidak diberitahu dan disiarkan, operasi tangkapan dibuat oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor.

Menurut Ketua Operasi MAINS, tangkapan dibuat kerana mengadakan pengajian tanpa mendapat kelulusan pihak berkuasa, dan bagi membantu siasatan bagi mengetahui tujuan sebenar pengajian diadakan.

Banyak yang boleh dipersoalkan atas tindakan MAINS dan JAIS disini, kerana ia memperlihatkan kelonggaran dalam tindak tanduk menjalankan penguatkuasaan itu dan menimbulkan pelbagai tafsiran yang boleh mengelirukan umat Islam.

Sudah tentu yang ditangkap itu melibatkan mereka yang beragama Islam yang mengikuti sebuah Pengajian Islam, kerana yang menangkap ialah yang menjaga hal ehwal Islam iaitu MAINS dan JAIS, tetapi mengapa istilahkan mereka sebagai Ajaran Tanpa Tauliyah bukan Ajaran Sesat, seperti yang pernah dilakukan terhadap sebarang serbuan sebelum ini. Apakah ajaran yang diajar oleh Pengajar Ajaran Tanpa Tauliyah? Ini sesuatu yang baru. MAINS dan JAIS sepatutnya tidak mengelirukan orang ramai dengan istilah tersebut, kerana ada ramai Tok-tok Imam, Ustaz-ustazah, guru-guru dan berbagai lagi kategori pengajar yang mengajar agama Islam kepada keluarga sendiri dan orang ramai baik dirumah persendirian, surau, mesjid, dewan orang ramai, balai raya dan dimana jua akan merasa bimbang kerana mereka tidak ditauliyahkan dan tidak mempunyai tauliah.

Atau kakitangan Jabatan Agama itu tidak mempunyai kekuatan untuk berhujjah dengan menggunakan dalil Agama, lantas menggunakan alasan tanpa tauliyah bagi menyekat perkembangan sesuatu pergerakan dan pengajian. Jika begitu tafsirannya, pengikut ajaran yang memang benar-benar sesat akan mendakwa Jabatan Agama tiada hujjah dengan mereka, dan mendakwa kesesatan yang mereka bawa itu adalah benar.

Sekian, untuk renungan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan