Khamis, 6 Ogos 2009

EMAIL SAHABAT DALAM PEMUDA UMNO K. PILAH

Seorang sahabat dalam Pergerakan Pemuda UMNO Kuala Pilah telah mengirim e-mail mengenai kemelut Pergerakan Pemuda UMNO kepada GK untuk disiarkan. Setelah difikirkan, tidak molek untuk saya siarkan keseluruhan intipati email tersebut, kerana ia lebih bersifat soal dalaman rumah tangga Pergerakan itu, walaupun beliau membenarkan untuk berbuat demikian. Saya melihatnya sebagai suatu luahan kecewa dari mereka yang prihatin dalam UMNO dan ingin melihat UMNO kembali kepada perjuangan asal yang mendekati akar umbi, namun apa yang terjadi amat mengecewakan. Kerakusan pimpinan untuk mempertahan kedudukan dapat dikesan pengirim e-mail, bukan setakat pimpinan sediaada, bahkan gerak kerja sudah mula diatur bagi yang bercita-cita bergelar pemimpin. Pengirim juga resah kerana tahun ini tiada perbahasan usul yang menarik dalam Persidangan, kerana dikatakan Persidangan kali ini kelihatan hambar sekali dan kelihatan seolah-olah ada pakatan yang tersembunyi. Kecelaruan dalam Pergerakan ini juga akan mengundang kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU-13 akan datang.

Kepada pengirim e-mail untuk diketahui, saya adalah bekas ahli UMNO, bekas Ketua Pemuda Cawangan dan bergerak cergas di Bahagian, status keahlian UMNO dipecat oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Sejarah perjalanan UMNO Bahagian Kuala Pilah amat saya ketahui dan banyak dalam simpanan saya, malah lokasi yang saya duduki sekarang pernah menjadi Pejabat Sementara UMNO Bahagian Kuala Pilah suatu ketika dahulu, ringkasnya serba sedikit saya tahu benar sepak terajang dalam UMNO, terutamanya di Kuala Pilah ini.

Persoalannya hanya satu, saya pernah bertanya kepada pemimpin UMNO Bahagian, mengapa? Jawapan yang paling mengecewakan, "kita ikut orang atas". Suatu jawapan yang sangat janggal. Lantas saya membawa diri mencari haluan yang sesuai dengan jiwa dan mencari sendiri kebenaran peristiwa hitam yang berlaku ketika itu.

Apa yang boleh dikatakan disini, saya menyeru pengirim e-mail tersebut berserta dengan rakan-rakan yang lain supaya mendekati kami, dan mengikuti perjuangan yang sedang kami tempuh. Usah harapkan UMNO akan berubah, kerana penyakit yang menghingapinya sudah amat parah. Tempuhilah jalan baru, dan kita sendiri sebagai pendukung yang akan menentukan hala tuju Parti baru ini, usah dengar cercaan, makian dan ugutan dari mereka, kerana semua itu hanya ingin melihat kita sentiasa berjauhan dan bermusuhan. Saya amat yakin kemenangan akan berpihak kepada kita.

Ko-Pilah ada menyiarkan tulisan tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan