Selasa, 10 Februari 2009

KENYATAAN MEDIA AHLI PARLIMEN TELOK KEMANG: MISI MENAWAN NEGERI SEMBILAN

AHLI PARLIMEN TELOK KEMANG MENGULAS MENGENAI MISI
PAKATAN RAKYAT UNTUK MENAWAN NEGERI SEMBILAN

Telah menjadi buah mulut di seluruh Negeri Sembilan bahawa perubahan politik pasti akan melanda negeri ini. Samada cepat atau lewat. Peralihan kuasa dari BN ke Pakatan Rakyat tetap akan berlaku.

Rakyat Negeri Sembilan secara keseluruhan dapat melihat perubahan-perubahan ketara yang dibuat oleh pemimpin Pakatan Rakyat semenjak memenangi hampir ½ daripada jumlah kerusi di Dewan Undangan Negeri Sembilan serta menguasai 3 daripada 8 kawasan Parlimen di negeri ini. Rakyat Negeri Sembilan yang dahagakan perubahan politik, ekonomi & sosial telah melihat betapa gigihnya Pakatan Rakyat menjalankan tugas walaupun dinafikan peruntukan oleh kerajaan BN yang memerintah.

Memang diakui bahawa PKR, PAS & DAP merupakan parti-parti politik yang berlainan ideologi tetapi mempunyai idealisme perjuangan dan melahirkan satu fahaman yang menghormati mendaulatkan suara rakyat serta menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan. Oleh yang demikian di Negeri Sembilan telah wujud satu bentuk pemikiran baru setelah rakyat di negeri ini melihat perkembangan politik UMNO/BN.

Laporan akhbar telah menunjukkan rakyat di negeri ini meluahkan kebencian pada sistem pemilihan pemimpin UMNO yang buruk & mendukacitakan. Lantaran berlakunya rasuah politik wang, politik naungan, politik cantas-mencantas & lain-lain gejala negatif dalam UMNO bukan hanya di Negeri Sembilan bahkan berlaku di seluruh negara.

Rakyat di Negeri Sembilan turut melihat dengan penuh minat betapa jijiknya kes 'Rampasan Kuasa' oleh UMNO seperti yang berlaku di Perak. Tidak terkecuali pihak UMNO/BN Negeri Sembilan ini telah tersilap langkah apabila mengalih pandangan rakyat yang melihat kegagalan mereka mengurus tadbir negeri ini kepada cuba menanamkan fokus kebencian kepada Pakatan Rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan Parti KeADILan Rakyat Negeri Sembilan, YB Dato' Kamarul Baharin Bin Abbas berkata, kehadiran PKR serta rakan-rakan Pakatan Rakyat di dalam DUN Negeri Sembilan telah mencetuskan pemikiran baru. Usaha-usaha untuk mencari buah fikiran cerdik pandai, tokoh-tokoh agama, Datuk-Datuk Adat & golongan profesional digilap & diusahakan.

Di saat pemimpin UMNO di negeri ini yang sangat sibuk dengan urusan jualbeli untuk pemilihan parti sehingga melupakan penderitaan yang dialami oleh rakyat, Pakatan Rakyat Negeri Sembilan akan tampil membentangkan kepada rakyat di negeri ini inisiatif untuk membantu mereka. Dengan itu akan lahirlah nanti satu bentuk pemerintahan yang bukan sahaja bersesuaian dengan kehendak rakyat bahkan selaras dengan konsep politik baru seperti yang dikehendaki oleh rakyat.

Kami dalam Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan akan berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat & menyakinkan rakyat bahawa Pakatan Rakyat mampu membela nasib & masa depan mereka serta membentuk sebuah kerajaan negeri yang lebih terbuka & bewibawa. Keutamaan kami dalam Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan adalah pembetulan pada kepincangan-kepincangan masyarakat akibat salah urus tadbir yang dilakukan oleh UMNO/BN semenjak 50 tahun memerintah.

YB Dato' Kamarul mengulas demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Bersama Rakyat di Telok Kemang berkata, di Negeri Sembilan apa yang dikehendaki oleh rakyat adalah pembelaan ekonomi khususnya di saat rakyat mereka menempuhi kos sara hidup yang tinggi, peluang-peluang ekonomi yang boleh menjana pendapatan tambahan untuk rakyat bagi menampung keperluan hidup mereka, jaminan sosial dalam soal keselamatan yang merangkumi pelbagai aspek termasuk kesihatan, kebajikan, pekerjaan, keamanan, soal pendidikan & masa depan generasi muda, pembelaan terhadap institusi agama & penyuburan nilai murni dalam masyarakat.

Rakyat sudah bosan dengan sikap pemimpin politik UMNO di negeri ini yang mengutamakan soal pemilihan parti berbanding dengan melihat nasib rakyat. Justeru Pakatan Rakyat akan memperjuangkan pembelaan terhadap agama Islam, adat & institusinya kursusnya kelangsungan Adat Perpatih di negeri ini. Selain dari itu, rakyat juga melihat hak-hak asasi mereka dalam soal tanah adat serta projek perumahan yang terbengkalai telah diperjudikan oleh UMNO/BN.

Beliau turut menyifatkan khabar angin yang sengaja disebarkan oleh pihak-pihak tertentu mengenai terdapatnya desas-desus beberapa orang Wakil Rakyat Pakatan Rakyat di negeri ini akan meninggalkan parti dan menyertai BN sebagai idea bangkrap. InsyaAllah, kesemua 4 orang Wakil Rakyat dari PKR, 10 dari DAP & seorang dari PAS serta ketiga-tiga orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di negeri ini telah menyatakan iltizam untuk meneruskan perjuangan dalam Pakatan Rakyat & tidak sekali-kali pernah timbul soal 'berminat' untuk menyertai BN.

Komitmen Wakil-Wakil Rakyat Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan sangat tinggi & kesemua mereka telahpun menyatakan ikrar untuk terus berjuang dalam Pakatan Rakyat. Matlamat utama PKR bersama-sama Pakatan Rakyat di dalam Pilihanraya Umum ke13 yang akan datang ialah untuk mengambilalih tampuk pemerintahan Negeri Sembilan ini daripada tangan UMNO/BN secara tertib & aman serta mendapat sokongan majoriti rakyat. InsyaAllah.


Fakta kedudukan kerusi di Dewan Undangan Negeri Sembilan:
BARISAN NASIONAL (21) PAKATAN RAKYAT (15)

Fakta kedudukan kerusi di Dewan Rakyat Malaysia di Negeri Sembilan:
BARISAN NASIONAL (5) PAKATAN RAKYAT (3)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan