Isnin, 30 Mac 2009

Masalah sampah, air belenggu penduduk rumah rakyat Batu Kikir

BATU KIKIR – Penduduk di Rumah Rakyat Peringkat III sehingga kini masih lagi dibelenggu dengan masalah bekalan air yang sering terputus. Pengerusi Surau Rumah Rakyat Peringkat III Batu Kikir, Ramli Mohar berkata, penduduk di sini berasa tidak selesa dengan keadaan yang melanda mereka sehingga kini. Menurutnya, sebelum ini terdapat sebuah tangki air yang berfungsi untuk membekalkan air ke seluruh kawasan perumahan di sini. Namun, tangki air ini tidak lagi berfungsi dan ditutup dan sejak itu, masalah bekalan air di kawasan ini meruncing. "Sebelum ini ada juga masalah ini berlaku tetapi ia tidaklah begitu teruk tetapi setelah tangki air itu ditutup, masalah air ini menjadi lebih kritikal. "Paling bermasalah apabila tiba waktu malam, maknanya bekalan air itu tidak sekata," katanya. Pada masa sama, penduduk di kawasan ini turut menghadapi masalah pungutan sampah yang tidak sistematik. Ramli berkata, penduduk biasanya meletakkan sampah-sarap di tong besar tempat pembuangan sampah. Bagaimanapun, disebabkan sistem pungutan sampah secara tidak berkala menyebabkan sampah yang dibuang oleh penduduk bertaburan apabila tong sampah yang penuh. "Sampah-sampah yang bertaburan di luar tong sampah itu adalah disebabkan sampah-sampah tersebut tidak dikutip mengikut jadual yang ditetapkan. "Sepatutnya sampah-sampah tersebut dikutip mengikut hari-hari tertentu seperti Isnin, Rabu, Jumaat tetapi kini ia dikutip tidak mengikut jadual," katanya.
(Ulasan gerbang keadilan K. Pilah (GK): Pihak-pihak yang berwajib perlu mengambil tindakan segera terhadap perkara yang telah diadukan penduduk disini, dan telah diketahui bahawa masalah keputusan air ini telah lama melingkari penduduk Batu Kikir, GK memanjangkan juga perkara ini kepada Jabatan-jabatan berkaitan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan