Rabu, 3 Mac 2010

KEADILAN-KEADILAN-KEADILAN

N ama Parti Keadilan Rakyat sekarang ini sedang popular. Hari-hari keluar surat khabar perdana dan juga TV. Tetapi kalau berita tentang KEADILAN berdentum-dentum keluar akhbar perdana dan TV sudah pastilah berita itu berita yang bersifat negatif kerana semua maklum yang media berkenaan adalah kepunyaan UMNO dan sekutunya.Oleh itu mereka menggunakan sepenuhnya peluang untuk memburuk-burukkan parti lawan. Sifat ini telah menjadi kelaziman kepada UMNO dari dulu,kini dan adakah akan terus begitu selama-lamanya? Saya tidak nampak sifat ini akan berubah selagi UMNO dan BN masih kekal berkuasa.

Tetapi bukan isu ini yang saya nak bincang di sini kali ini. Kita simpan dulu untuk lain hari. Kali ini kita pancing-pancing buang umpan saja. Perkara utama yang menarik minat saya kali ini ialah jenama parti itu sendiri iaitu Parti Keadilan Rakyat atau kependekannya disebut KEADILAN.

Itulah nama yang termaktub dalam perlembagaan parti. Tapi rata-rata orang menyebut dan menulis sebagai PKR. Dalam surat khabar, TV, blogs. Hampir semua memanggil dengan kependekan PKR. Hatta, sehingga anggota parti terikut-ikut dengan sebutan itu.Kalau sekadar anggota parti masih boleh dimaafkan lagi. Kerana pindaan perlembagaan untuk menukar sebutan kependekan itu dari KeDILan kepada KEADILAN baru dibuat pada tahun 2009. Mungkin ahli belum biasa dengan sebutan itu. Tetapi yang paling ajaib pihak pimpinan yang mengusulkan pindaan ini sendiri seringkali menyebut hanya dengan PKR sahaja.

Jadi apa guna kita merakamkannya dalam perlembagaan kalau kita tidak mahu mengikutnya. Ia bukan sebarang dokumen, tetapi undang-undang induk parti kita sendiri. Dan kita bersusah payah berkumpul, berbahas dan membuat ketetapan untuk menyatakan bahawa kependekan parti kita adalah KEADILAN. Bukan PKR!. Kalau orang luar parti memanggil kita dengan PKR, itu tidak menghairankan. Sepatutnya kita kena beritahu mereka supaya memanggil kita dengan nama yang kita suka. Tetapi tak taulah. Adakah perangai orang Malaysia begitu?

Anggota parti dan pimpinan kena faham. Orang yang paling gembira apabila kita menggunakan istilah PKR adalah orang UMNO dan BN. Sejak dari awal penubuhan parti mereka mahu menghakis nama KEADILAN. Sehinggakan apabila kita menukar nama parti kita dari Parti Keadilan Nasional kepada Parti Keadilan Rakyat pihak Pendaftar Pertubuhan beria-ia menyekat dan cuba menghapuskan istilah KeADILan. Tetapi di atas kebijaksanaan pimpinan kita masih mengekalkan KeADILan dan sekarang kepada KEADILAN dimana maksudnya tetap sama.

Tidak fahamkah kita kalau kita tidak lagi menyebut nama parti kita sebagai KEADILAN, iaitu bukan hanya sekadar nama bahkan jati diri dan seluruh perjuangan kita tertegak di atas istilah KEADILAN, maka akan tercapailah sebahagian dari usaha UMNO dan BN untuk menghakis erti perjuangan anggota dan penyokong serta rakyat kepada parti ini.

Oleh itu saudara seperjuangan, ingatlah, nama parti kita ialah KEADILAN. KEADILAN. KEADILAN.

(Nordin Ismail)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan