Calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut menang dengan majoriti 2,631 undi. Beliau mendapat 32,883 undi manakala Wan Ahmad Farid mendapat 30,252 undi. Calon bebas, Azharudin Mamat pula mendapat 193 undi. Ini bermakna Barisan Nasional (BN) kehilangan satu lagi kerusi Parlimen bila calunnya gagal mempertahankan kerusi Kuala Terengganu dalam pilihanraya kecil yang diadakan semalam menjadikan Pakatan Rakyat memiliki 83 kerusi. Parti Keadilan Rakyat Kuala Pilah mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada pengundi-pengundi Kuala Trengganu kerana kemenangan itu dan Tsunami Politik terus berlaku dan Pakatan Rakyat kini menghampiri Putrajaya untuk memerintah. Kepada petugas-petugas daripada Kuala Pilah diucapkan syabas dan tahniah kerana kesungguhan memastikan kemenangan calun PAS yang telah berkampung semenjak hari Penamaan. Seruan juga telah dikeluarkan kepada rakan-rakan dari UMNO di Kuala Pilah untuk tidak ketinggalan menyertai kita dalam arus perubahan ini. Kepada Allah kita bersyukur dan menambah kekuatan untuk menawan Kuala Pilah suatu hari nanti.
Elok Umno simpan gula-gulanya dalam balang sejarah
BalasPadamSelain daripada dasar, undang-undang, tindakan dan kenyataan pelik-pelik dibuat pemimpin dan kerajaan Umno-BN dalam masa lima tahun kebelakangan ini, paling pelik ialah apabila parti itu menggunakan pendekatan amat kuno sebagai memulakan kempen pilihan raya pertama bagi 2009.
Sebagaimana biasa, Umno-BN akan membuka gelanggang dengan ungkapan lazim 'bahawa pembangkang tidak mempunyai isu'.
Apabila pertandingan menjadi semakin hangat dan sebagaimana yang dapat diduga rakyat Malaysia, Umno-BN akan membangga-banggakan kejayaan masa lalu seolah-olah zaman tidak berubah dan masa berdiri kaku dengan segala apa yang dibuat oleh parti tersebut.
Jika senjata ini dirasakan tidak begitu berkesan untuk menumbangkan lawan, maka akan ada seorang berkuasa dalam parti dan kerajaan yang mengambil peranan selaku 'master of the game'.
Orang ini lazimnya akan meluluskan pelbagai projek dengan serta merta, tanpa kelulusan kabinet dan tanpa kelulusan Parlimen.
Selain itu pelbagai janji dibuat sekiranya pengundi memilih mereka seolah-olah pilihan raya untuk memilih seseorang untuk mewakili rakyat satu tit for tat.
Jika cara ini dirasakan tidak akan membuahkan hasil, masih ada cara lain yang digunakan untuk menang. Walaupun semakin ramai rakyat yang sudah menyedari cara terakhir ini, namun itu adalah cerita lain yang terkeluar dari skop perbincangan.
Nampaknya setelah berpengalaman menyertai 12+1 pilihan raya umum dan berpuluh-puluh pilihan raya kecil, pemikir politik/pilihan raya dan penyusun strategi Umno-BN gagal mencipta resepi baru tentang cara menghadapi pilihan raya dalam era moden.
Adalah pelik apabila kita memikirkan segala cerdik pandai dalam Umno, termasuk para profesor, perancang media dan bahkan perunding masih mendewa-dewakan taktik "pembangkang tiada isu, Umno-BN sudah buat itu dan ini untuk rakyat, dan kerajaan meluluskan itu dan ini dengan serta merta dan berjanji untuk buat macam-macam lagi", walaupun ia ibarat barangan yang tarikh penggunaannya sudah lama luput.
Apabila kita menggunakan barang yang sudah basi dan rosak, maka terimalah akibatnya.
Dari serendah-rendah pemimpin
Andai kata Umno-BN menang di Kuala Terengganu 17 Januari lalu, sudah tentu golongan think-tank mereka akan berbangga: "See what I've told you."
Dan sudah tentu para pemimpin Umno-BN dari setinggi-tinggi pemimpin di peringkat Persekutuan sehingga serendah-rendah pemimpin di peringkat negeri akan melafazkan dialog skrip klasik mereka, "Kemenangan BN membuktikan betapa rakyat terus yakin kepada BN ..." atau ayat lain sewaktu dengannya.
Namun selepas pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, pemimpin BN akan terus bermimpi bilakah lagi mereka dapat melafazkan dialog serupa itu.
Perkara logik selanjutnya bagi Umno-BN adalah untuk melakukan postmortem - setidak-tidaknya sebagaimana yang dikatakan oleh pemimpin mereka.
Di Bahrain, sehari selepas pilihan raya di Kuala Terengganu, Dato' Sri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN merangkap Presiden Umno yang tidak akan hilang waktu tidurnya lagi kerana memikirkan prestasi Umno-BN di masa mendatang sudahpun memulakan ayat hikmat parti tersebut: "Kita akan menunggu keputusan bedah siasat ekoran kekalahan BN pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu."
Bagi Tun Dr Mahathir Mohamad pula, kekalahan BN bukan berpunca dari Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak: "Sebahagian daripada sebab kekalahan ini ialah kerana pengundi tidak suka kepada calon ... Pengundi terpaksa membuat pilihan antara calon BN serta PAS dan akhirnya memilih PAS walaupun Umno telah mempergunakan segala kekuatan termasuk sumber aset kerajaan Pusat (Polis,SPR,JPN,media)
Namun faktor calon ini awal-awal lagi disangkal oleh Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.
Sekiranya inilah antara ciri-ciri bedah-siasat yang bakal dibuat parti tersebut (jika ia benar-benar dibuat walaupun umum dan mungkin ahli Umno sendiri tidak tahu siapa sebenarnya yang melakukan segala analisis dan bedah siasat ini), maka hal itu bukanlah sesuatu yang baru.
Bedah-siasat untuk siapa
Tidak mustahil hasil bedah siasat itu kelak akan senada dengan berita akhbar Berita Harian yang mengatakan peluang BN untuk menang di Kuala Terengganu cerah. Maka tidak hairanlah sekiranya Umno-BN sentiasa tidak dapat menggunakan hasil bedah-siasat yang dibuat itu untuk memperbetulkan prestasinya.
Selepas prestasi buruk Umno-BN dalam pilihan raya umum Mac lalu, antara rumusan bedah-siasat awal ialah bahawa pemimpin dan calon Umno-BN sombong terhadap rakyat. Jika pemimpin BN mengambil rumusan ini secara serius, sudah tentu mereka tidak akan memilih calon yang mana mudah dilakukan character assasination kepadanya.
Akhirnya, apapun analisis dan rumusan bedah-siasatnya, sesuatu adalah pasti - bahawa rakyat Malaysia sebenarnya sudah menolak Umno-BN dan melihat PAS dan gabungan Pakatan Rakyat sebagai satu alternatif yang lebih segar.
Zaman sudah berubah. PAS hari ini tidak sama seperti PAS yang dilihat oleh rakyat pada satu ketika dulu. Begitu juga dengan DAP yang tidak lagi dilihat oleh orang Melayu sebagai sebuah parti yang chauvinistic.
Disebabkan hanyut dengan kuasa dan kemenangan masa lalu, pemimpin Umno-BN semakin hilang genggaman dan sentuhan dengan realiti politik masa kini.
Apa yang berlaku di Kuala Terengganu adalah ibarat Teori Domino untuk parti tersebut. Satu demi satu jubinnya tumbang. Yang lain hanya menanti saatnya.
Sudah sampai masanya Umno-BN menyimpan sahaja gula-gulanya ke dalam balang sejarah.
Terima kasih sdr.
BalasPadam