Selasa, 28 Oktober 2008

PEMBELI PERUMAHAN PERPADUAN HEIGHTS BUAT LAPORAN POLIS


28 November 2008. Seramai 45 Orang pembeli rumah Perpaduan Heights Kuala Pilah, Senaling telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Kuala Pilah hari ini jam 4.00 petang terhadap Pemaju dan dua buah Syarikat Arkitek Projek Perumahan Perpaduan Heights Kuala Pilah yang terbengkalai semenjak 2003. Laporan polis tersebut diketuai oleh En. Salehuddin Abdullah selaku Pengerusi Badan Bertindak Pembeli.

Menurut En. Salehudin, Projek yang dimulakan pada tahun 1996 yang sepatutnya siap pada tahun 2001 telah berjaya menarik seramai 231 orang pembeli, dan semenjak terbengkalai sudah banyak ikhtiar telah dilakukan oleh pembeli bagi menarik perhatian Kerajaan untuk membantu menyelesaikan kemelut ini, namun semuanya menemui jalan buntu. Pertemuan juga telah diatur dengan ADUN Kawasan Pilah, EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan, pihak Majlis Daerah sebagai rakan kongsi pemaju, semuanya tidak memberikan suatu jawapan konkrit terhadap permasalahan ini. Suatu protes secara besar-besaran juga telah diadakan pada 21hb. Ogos 2007 dan ekoran daripada itu pihaknya telah menghantar satu memorandum kepada Yang Di Pertua Majlis Daerah. Pihak TV3 juga membuat liputan mengenai protes tersebut. Pihaknya juga telah mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi terhadap pemaju, namun semua masih tergantung dan tidak menemui jalan penyelesaian.

Ketua AMK NS En. Halim bersama Peguam

Turut hadir bersama membuat laporan tersebut ialah En. Tang Jay Son Peguam yang dilantik oleh pihak Badan Bertindak Pembeli. Menurut En. Tang Jay Son, beberapa keraguan timbul terhadap projek ini, beliau turut mempersoalkan mengapa ada aliran keluar masuk wang antara pihak Bank dengan Pemaju setelah Kerajaan mengistiharkan Projek tersebut terbengkalai. Juga bayaran kepada pihak Pemaju oleh Bank mencapai tahap 80% sedangkan prestasi kerja amat rendah daripada itu. Beliau berharap pihak polis akan menyiasat aduan Pembeli itu tanpa memilih bulu, dan beliau telah diminta oleh Pembeli untuk mengemukakan saman terhadap Pemaju dan Arkitek perumahan tersebut kerana didapati telah menipu pihak pembeli.

Sementara itu En. Halim Bin A Aziz, Ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri Sembilan yang ditemui berkata, beliau telah membawa perkara ini kepengetahuan BPR untuk disiasat, kerana didapati dalam beberapa laporan yang beliau perolehi didapati ada unsur-unsur penyelewengan Pemaju bersama Majlis Daerah Kuala Pilah terhadap pembeli. Namun daripada jawapan yang beliau perolehi daripada BPR tiada apa-apa tindakan boleh diambil terhadap Pemaju kerana prosedur yang dilakukan adalah betul, dan dalam masa yang sama berliau hairan bagaimana Timbalan Pengarah BPR N. Sembilan boleh bertukar, kerana beliau yang menyiasat hal tersebut. Beliau juga turut melahirkan rasa kesal terhadap bekas EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan N. Sembilan En. Woo Ah Lek yang beliau temui bersama pembeli dengan memberikan alasan yang sangat tidak masuk akal dan tidak membela pembeli yang teraniaya.

Puan Lee Cheng Mei

Seorang lagi Pembeli yang teraniya Puan Lee Cheng Mei berharap laporan ini akan dapat disiasat oleh pihak polis dengan seadil-adilnya, kerana beliau merasakan telah tertipu dengan pemaju. Bukan sedikit wang yang beliau keluarkan dan lebih mendukacitakan beliau kini terpaksa membayar kepada benda yang tiada. Beliau juga bersimpati dengan lain-lain pembeli kerana kebanyakkan mereka terdiri daripada golongan yang berpendapatan rendah dan sudah berumur, dan amat mengharapkan mereka oleh memiliki rumah dihari tua. Tetapi begini nasib yang menimpa mereka tanpa pembelaan daripada pihak Kerajaan.

2 ulasan:

  1. Tahniah di atas usaha berterusan memperjuangkan nasib penduduk Kuala Pilah.

    BalasPadam
  2. gerak perjuangan tanpa putus oleh PKR Bahagian Pilah. Tahniah!

    BalasPadam