Khamis, 18 September 2008

PEMBOHONGAN YB DATO' HASAN MALEK

KENYATAAN PENUH


PARTI KEADILAN RAKYAT BAHAGIAN KUALA PILAH
TARIKH : 18HB. SEPTEMBER 2008


Merujuk kepada laporan Buletin Utama TV 3 Jam 8.00 malam bertarikh 16hb. September 2008 dan Berita Harian bertarikh 17hb. September 2008 berhubung dengan kenyataan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, YB Hasan Malek Ahli Parlimen Kuala Pilah yang menyatakan:-

i. Beliau didatangi oleh wakil pembangkang yang menawarkannya menyertai Pakatan Pembangkang dengan dijanjikan sejumlah wang serta kedudukan dalam kerajaan.
ii. Timbalan Ketua UMNO Kuala Pilah itu telah didatangi duta kecil telah menghubungi dan bertemu beliau sehingga lima ke enam kali bagi memujuk beliau menyertai Pembangkang, dengan janji berkali ganda lebih baik berbanding apa yang beliau perolehi sekarang.


iii. Beliau menolak tawaran tersebut kerana beliau ada maruah dan kedudukan sebagai Ahli Parlimen bukan jawatan boleh dijual beli. Tawaran tersebut adalah tindakan terdesak dan tidak bermoral.


iv. Tindakan Pembangkang mendabik dada kononnya mahu jadi kerajaan kelas pertama menentang segala unsur rasuah.

Susulan daripada kenyataan beliau tersebut, duta kecil yang dimaksudkan beliau itu telah dipanggil untuk memberi keterangan oleh Badan Pencegah Rasuah di Seremban pada 17hb. September 2008, dan duta kecil yang dimaksudkan itu juga adalah merupakan Ahli Jawatankuasa PKR Bahagian Kuala Pilah.


BERIKUT ADALAH KENYATAAN RASMI PKR BAHAGIAN KUALA PILAH BERHUBUNG DENGAN KENYATAAN YB HASAN MALIK TERSEBUT :-

Atas kepercayaan kepada konsep kejujuran, keikhlasan dan ketelusan dalam agenda Perjuangan Rakyat, merasuah, menyogok serta menjanjikan pangkat kepada seseorang bukanlah amalan kami. Oleh yang demikian:-


i. Kami menafikan pernah melantik agen atau wakil atau duta kecil seperti yang didakwa dan juga menafikan pernah menawarkan YB Hasan Malek sejumlah wang dan kedudukan dalam Kerajaan kepada beliau, kenyataan itu adalah semata-mata pembohongan beliau yang cuba mencari polulariti murah dalam keadaan UMNO yang sangat lemah dan kucar kacir dan dalam kekuatan rakyat mendesak agar terbentuk sebuah kerajaan baru pimpinan Pakatan Rakyat.

ii. Parti Keadilan Rakyat Pusat, Perhubungan Negeri dan Bahagian tidak pernah melantik secara khusus apa yang dinamakan YB Hasan Malek sebagai Duta Kecil kepada sesiapa untuk memujuk beliau bagi menyertai PKR ataupun Pakatan Rakyat bagi membentuk Kerajaan Baru, malah bagi melaksanakan agenda perubahan tersebut Pimpinan PKR telah menyeru dan mengajak seluruh rakyat Malaysia termasuklah YB Hasan Malek untuk bersama-sama membina Malaysia Baru yang menjamin kesejahteraan Rakyat tanpa mengira kaum.

iii. Sekiranya YB Hasan Malek mempunyai maruah dan mempunyai kedudukan sebagai Timbalan Menteri dalam Kerajaan seperti yang dibanggakannya, beliau pasti tidak akan membuat pembohongan melulu dan penganiayaan kepada duta kecil yang dimaksudkan tersebut. Malah beliau sendiri tidak bertanggungjawab keatas rakyat yang diwakilinya di Kuala Pilah kerana banyak perkara yang tidak mampu beliau suarakan di Parlimen, dakwaan tidak bermoral yang ditujukan kepada PKR dan Pakatan Rakyat itu adalah terkena kepada beliau sendiri.

iv. PKR tidak mendabik dada dengan angkuh dan sombong, tetapi bersungguh-sungguh dengan perasaan insaf dan sedar untuk membentuk dan menjadi sebuah Kerajaan kelas pertama atau The Good Governance yang akan dihormati oleh semua pihak.

Kami menyimpulkan, kenyataan YB Dato' Hasan Malek itu sebagai “melahirkan rasa bimbang,cemas dan gelisah beliau bahkan seluruh Pimpinan UMNO dan Barisan Nasional terhadap gelombang Peralihan Kuasa Kerajaan BN kepada Pakatan Rakyat dan kenyataan beliau itu juga melambangkan kecelaruan fikiran yang berlaku dalam Parti tersebut.”

Terima kasih.


Hazman Hashim
Setiausaha
Parti Keadilan Rakyat Bahgian Kuala Pilah.
Kuala Pilah















AJK KEADILAN BAHAGIAN KUALA PILAH DALAM SIDANG AKHBAR HARI INI.

1 ulasan:

  1. Teruskan perjuangan..usah berundur walau seinci..kami tetap berpegang teguh pada Islam dan prinsip keadilan untuk semua..doa dan harapan semoga Parlimen Kuala Pilah akan menjadi milik Pakatan Rakyat...

    BalasPadam