Oleh Tuan Guru Hj. Nik Aziz Nik Mat
Hantar Jamuan dan Bantuan Kepada Keluarga si mati.
Ahmad bin Hambal RA berpendapat bahawa mengadakan jamuan untuk mayat (Kenduri Arwah) dan juga membaca Al-Qur'an disekeliling mayat tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah saw terhadap para sahabat yang meninggal dunia begitu juga sebaliknya para sababat tidak pernah membacakan Al Qur'an, ketika Rasulullah saw wafat. Oleh yang demikian perbuatan tersebut disifatkan oleh Ahmad Bin Hanbal sebagai perbuatan Jahiliyah.
Oleh yang demikian, apakah yang mendorong sesetengah orang mengadakan amalan yang tidak bersumberkan dari ajaran Rasulullah saw? Tidak lain kerana mereka beranggapan bahawa mengadakan bacaan ayat-ayat al-Qur'an di keliling mayat dan juga mengadakan jamuan makan (kenduri arwah) itu dianggap perkara baik.
Sesungguh baik buruknya sesuatu amalan itu bukanlah berdasarkan ukuran sendiri, tetapi segala bentuk ibadah itu mestilah mempunyai asas yang kukuh bersumberkan kepada syariat Allah. Ia hanya dianggap naik jika yang menggadakan syariat iaitu Allah SWT sendiri dan juga RasulNya yang mengatakan baik, jika tidak maka ia akan menjadi sebaliknya.
Rasulullah saw telah bersadba maksudnya "Hendaklah kamu para sahabat mengadakan (menghantar) makanan untuk keluarga Ja'far. Rasulullah saw bersabda demikian ketika Ja'far bin Abu Talib, sepupu Nabi saw syahid didalam satu peperangan. Hadits tersebut dengan jelas menganjurkan supaya orang ramai bersimpati kepada balu dan juga keluarga simati, dengan menghantar makanan ke rumah keluarga Ja'far yang sedang bersedih diatas kematian Ja'far bin Abu Talib itu. Adalah menjadi kewajipan jiran tetangga dan ahli masyarakat bukan sekadar mengucapkan ta'ziah dan turut merasai sedih di atas kematian tersebut, tetapi turut meringankan beban tanggungan balu dan keluarga tersebut yang dalam kesukaran baru ditingalkan oleh suami dan bapa-bapa mereka.
Dalam keadaan bersedih disebabkan kematian itu adalah tidak wajar mereka pula terpaksa mengadakan jamuan untuk jiran tetangga dan anggota masyarakat apatah lagi sesetengahnya terpaksa menyediakan wang upah untuk sembahyang jenazah. Ia bukan sahaja membebankan keluarga berkenaan. Tetapi ini seolah-olah sudah jatuh ditimpa tangga, sudahlah mereka kehilangan seseorang dalam keluarganya ditambah pula dengan beban mengadakan jamuan untuk orang ramai.
Sabda Nabi saw itu mengandungi pengajaran tanggung jawab sosial, yang mengganjurkan setiap anggota masyarakat mempunyai rasa simpati untuk membantu meringankan beban. Membantu mereka dengan menghantar makanan serta lauk pauk untuk keluarga mereka, kerana dalam masa bersedih itu mungkin mereja rtidak berdaya untuk memasak makanan atau disebabkan sibuk dengan urusan jenazah sehingga mereka tidak ada masa untuk menyediakan makan bagi keluarga.
Dalam keadaan demikian apabila jiran tetangga atau anggota masyarakat menghantar makanan ataupun duit ringgit, sudah tentu ia dapat menghiburkan keadaan keluarga yang sedang bersedih dan juga membantu mereka pada saat-saat mereka memerlukan simpati.
Sesungguhnya apabila seseorang ketua keluarga meninggal dunia, bererti semua harta yang ditinggalkan adalah menjadi hak semua waris yang terlibat. Harta beras yang ada didapur, ayam itik didalam reban, kambing lembu yang sedang tertambat dan sebagainya bukan lagi kepunyaan si mati. Jika mereka bertanak nasi dan juga bersembelih ayam itik atau kambing lembu untuk jamuan (kenduri arwah) bererti mereka telah menggunakan yang belum difaraidkan kepada para waris.
Menggunakan harta waris bererti mengambil hak orang lain, ia tidak wajar sekalipun bagi tujuan mengadakan jamuan (kenduri arwah) maka ia termasuk dalam kategori mengguna harta orang lain tanpa izin. Yang demikian itu akan dipertanggungjawabkan diakhirat jelak, sedangkan setiap mukmin mesti berusaha untuk menghindari perkara-perkara yang boleh menimbulkan halangan diakhirat kelak. Lebih-lebih lagi jika didalam keluarga itu ada anak yatim, akan mendatangkan akibat yang lebih berat, kerana sudah tentu didalam harta yang ditinggalkan oleh simati itu termasuk juga harta kepunyaan anak yatim tersebut. Firman Allah swt yang bermaksud "Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api (neraka) yang menyala-nyala" (Surah An Nisa: 10)
Ini bererti makanan dari harta anak yatim yang dihidangkan di majlis jamuan (Kenduri Arwah) itu, walaupun pada zahirnya yang disuapkan itu nasi dan lauk pauk. tetapi hakikatnya mereka telah menyuap api neraka ke dalam perutnya. Sayangnya mereka tidak sedar atau tidak tahu dan faham keadaan sebenarnya.
Oleh yang demikian dalam kitab At Tazkirah berpesan dan memberi peringatan kepada setiap ketua keluarga iaitu para suami atau ibu bapa agar melarang kaum keluarga, anak isteri mereka memakan makanan dimajlis jamuan (kenduri arwah) kerana menghindar dari memakan harta pusaka yang belum dibahagi kepada para warisnya. Lebih-lebih lagi jika didalam waris itu terdapat anak-anak yatim, adalah lebih besar lagi bahayanya diakhirat jika memakan harta-harta anak yatim dengan cara yang tidak diizinkan oleh syarak.
Sudah sampai waktunya umat Islam memikirkan tentang perlunya menghayati maksud hadits Nabi saw seperti yang diterangkan diatas itu, ia bukan sekadar untuk membetulkan keadaan songsang daripada terus berlaku di dalam masyarakat Islam, dimana keluarga si mati yang sedang bersedih itu dibebani keyakinan yang menyusahkan diri, terpaksa membuang harta untuk mengadakan jamuan yang tidak dituntut oleh Islam.
Sebaliknya hadits Nabi saw itu mendidik umatnya supaya bersimpati kepada keluarga simati, dengan menghantar makanan ataupun wang ringgit bagi membantu meringankan beban kesedihan yang sedang ditanggung oleh keluarga simati. Semoga dengan panduan hadits Nabi saw ini akan mengasuh kita meninggalkan sikap menyusahkan dan membebankan keluarga simati, kerana tidak menasihati mereka supaya meninggalkan amalan amalan mengadakan jamuan (kenduri arwah) yang tidak diperintah oleh agama, bahkan amalan tersebut dicela oleh Islam.
(Ulasan kami: Sudah sampai masanya kita meninggalkan amalan yang sudah bercokol begitu lama dalam masyarakat Melayu sedangkan ia tiada keterangan dan dalil agama, kecuali dengan sangkaan, angan-angan dan ikutan membuta tuli tanpa dalil semata. )
Tiada ulasan:
Catat Ulasan