P enangkapan Bekas Mufti Perlis Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin semalam di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang ketika menyampaikan kulian kepada 200 orang oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor tidak menghairankan. Kerana selagi sistem penjajah menjadi amalan pemerintah, selama itu para pengembang Agama yang bertentangan dengan pemerintah akan terus diburu. Apatah lagi penentang yang berada dikiri kanan akan sentiasa menjalankan peranan mereka sebagai kaki kipas dan pengampu dan membisikkan kepada orang atasan supaya suatu hukuman dikenakan kepada mereka. Turut bersama dalam kuliah beliau ialah Ketua Wanita Keadilan Pusat, YB Puan Zuraida Kamarudin dan Adun Ulu Kelang, YB Shaari Sungip. Sebelum itu Persatuan Peguam Syarie Malaysia yang diketuai oleh Persidennya Mohamad Isa Abd. Ralip yang mendakwa bersama-sama dengan 13 NGOs yang lain (Persatuan Pegawai-pegawai Syariah Malaysia, Yayasan Sofa NS, Yayasan Jenderami, MUAFAKAT, Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Alumni Kolej Islam (ALKIS), Jamaah Islah Malaysia (JIM), Persatuan Ulamak Malaysia, Yayasan Paksi Kedah, Persatuan Ulamak Kedah, Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), telah menyerahkan suatu Memorandum kepada Yang DiPertuan Agong meminta Baginda menarik balik perlantikan Dr. Asri sebagai Yang Di Pertua YADIM. Memorandum tersebut disiarkan dalam website Persatuan Peguam Syarie Malaysia, namun kemudian ia ditarik balik atas alasan teknikal. Kami percaya mereka terpaksa menarik balik memorandum itu daripada tersiar kepada orang ramai, kerana bimbang hujjah longgar yang mereka kemukakan dalam memorandum itu akan diketahui ramai dan akan memalukan Persatuan itu sendiri. Namun kami berkesempatan untuk mendapatkan salinanya, dan memang terbukti bahawa mereka-mereka itu sangat bimbang dengan kebangkitan Gerakan Pembaharuan yang dibawa oleh Dr. Asri dan kawan-kawannya itu akan menggugat kesenangan yang mereka nikmati sekarang. Mereka juga bimbang warisan nenek moyang yang menjadi amalan masyarakat Melayu zaman berzaman yang sarat dengan amalan animisma ditinggalkan Umat Islam dan kembali kepada Al-Qur'an dan Sunnah. Kami juga percaya laporan polis dibuat oleh mereka yang iri hati dengan perkembangan pesat gerakan pembaharuan ini, terutama mereka yang mensebatikan diri mereka dengan kubur-kubur dan beraqidah bahawa Rasulullah saw masih hidup dan boleh datang kepada siapa yang yang Baginda mahu, seperti kepercayaan kaum tarikat yang berselerak di Negeri Sembilan ini. Apatah lagi sekarang ini seorang yang diangkat sebagai Syeikh Besar tarikat tersebut sedang bergerak di Gombak dengan menjadikan Agama sebagai sumber pendapatan. Ini ditegaskan oleh Dr. Asri bahawa institusi Agama dilihat sebagai ruang membuat keuntungan kepada sebuah akhbar. Oleh yang demikian, kami menyeru kepada Dr. Asri dan kawan-kawannya agar tabah menghadapi dugaan ini dan kami akan bersama bagi membebaskan pemikiran kolot dan jumud sebahagian bangsa Melayu yang sudah lama terjajah dan bertaklid buta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan