Rabu, 11 November 2009

PROF DR YUSUF QARDHAWI JUGA DI COP WAHABI

M eninjau kembali sejarah dan liku-liku perjuangan Prof Dr Yusuf al-Qardhawi, seseorang itu pasti akan menimba pelajaran yang sangat besar dari tokoh besar ini. Kehidupannya yang penuh dengan ilmu dan dakwah, membentuk diri beliau sebagai seorang sarjana dan ilmuan islam yang disegani pada zaman ini.

Ketika anak-anak murid beliau mengadakan seminar memperingati jasa dan ketokohan beliau serta menamakan beliau sebagai Al-Imam. Air mata beliau menitis deras membasahi janggutnya, kemudian tokoh besar ini berkata, “Sesungguhnya tidaklah layak aku memakai gelaran ini. Aku hanyalah seorang penuntut ilmu, dan akan terus menuntut ilmu hingga akhir hayatku.”

Kesarjanaan dan ketokohan beliau telah diakui oleh beratus malahan beribu ulama besar yang lain di seluruh dunia. Beliau yang sering dijoloki dengan gelaran Al-Imam Al-Wasatiyah (Imam yang bersederhana) bukan sahaja memberi pengaruh yang besar dalam dunia intelektual, malahan memberi sumbangan dalam dunia politik Islam.

Namun begitu, tokoh Ilmuan Islam ini semasa mudanya menempuhi pelbagai dugaan dan cabaran bukan sahaja dari luar malahan dari dalam pusat pengajiannya. Suatu ketika dahulu, beliau berhadapan dengan pelbagai konterversi hanya kerana beliau menegur gurunya berkaitan dengan perkara khurafat yang berlaku di sekitar Mesir. Atas peristiwa ini, beliau digelar oleh gurunya dengan gelaran Wahabi!

Bukan setakat di bilik darjah, di tempat tinggalnya juga beliau terpaksa menangani kekecohan dari penduduk tempatan yang mendakwa beliau telah menghina para ulama kerana mengeluarkan pandangan yang berbeza.

Dalam Mukadimah buku beliau Fatwa Mu’asarah, beliau menulis, “Pada mulanya saya menimbulkan kekecohan di kalangan orang ramai. Mereka tertanya-tanya: “Bagaimana pemuda ini berani berbeza pandangan dengan syeikh-syeikh besar? Bagaimana dia mengajar orang-orang bukan daripada kitab-kitab muktabar? Bagaimana dia boleh mengeluarkan pandangan-pandangan yang sebelum ini belum pernah kami dengar?” Saya menghadapi hal ii dengan penuh tabah sambil mempertahankan pandangan. Saya katakana kepada orang-orang yang tidak bersetuju: “Di antara saya dan kamu ialah al-Quran dan Sunnah. Oleh itu marilah kita kembali kepadanya.”

Prof Dr Yusuf al-Qadhawi mengharungi tuduhan dan fitnah ini dengan penuh takwa dan sabar. Kerana beliau sedar dan yakin bahawa hak sentiasa akan ditentang oleh kebatilan. Malahan al-Quran dan as-Sunnah telah menceritakan bagaimana sukarnya perjuangan Nabi Muhammad shallahu-alaihi wasalam menyebarkan risalah tauhid dan membersihkan kesyirikan manusia ketika itu. Kerana yakin dan tahu bahawa hanya kebenaran yang dibawa, Prof Dr Yusuf al-Qardhawi tidak berganjak dengan prinsip dan seruan tajdidnya(pembaharuan) terhadap agama. Kesungguhan dan keyakinan beliau terhadap seruan kembali kepada al-Quran dan Sunnah (tajdid) atas prinsip dan kefahaman para sahabat dan tabien, telah memberi pengaruh yang besar dalam dunia Intelektual Islam.

Jika disoroti perjalanan dakwah dan kesarjanaan Al-Qardhawi, ia hanyalah kesinambungan dan kelansungan perjuangan Ulama-ulama besar sebelum beliau. Misalnya al-Imam Ibnu Taimiyah dan al-Imam Ibnu al-Qoyim yang sinonim dengan gerakan Tajdidnya dan usaha mereka memerangi syirik dan bid’ah.Tuduhan dan fitnah yang sentiasa bermain di bibir masyarakat kepada al-Qardhawi masih wujud sehinggalah masa kini, setelah beliau dikenali sebagai Sarjana dan Ilmuan Islam besar. Istilah-istilah Wahabi masih lagi terus wujud dan diletakkan di bahu beliau. Malahan tuduhan bahawa beliau Muktazilah serta kafir turut berlegar di kalangan mereka yang membenci tokoh ini. Namun, beliau tidak pernah beranjak sedikit pun dari prinsip dan perjuangannya. Walau ditohmah dan dituduh dengan gelaran Wahabi dan sebagainya, beliau tidak pernah menganggapnya sebagai batu penghalang kepada seruannya kepada umat Islam agar kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Menariknya apabila ditanya kepada beliau tentang Muhammad bin Abdul Wahab, seorang tokoh islam yang dituduh dengan pelbagai tuduhan serta mengaitkan tokoh ini dengan gelaran Wahabi. Al-Qardhawi menjawab dalam bukunya Feqh al-Auliyat (Feqah keutamaan) , “Perkara pokok dalam da'wah Imam Muhammad bin Abd al-Wahhab di Jazirah Arabia ialah pada bidang aqidah, untuk menjaga dan melindungi tauhid dari berbagai bentuk kemusyrikan dan khurafat yang telah mencemari sumbernya dan membuat keruh kejernihannya. Dia menulis berbagai buku dan risalah, serta menyebarkan dan mengamalkannya dalam rangka menghancurkan berbagai gejala kemusyrikan.”Justeru, jika ada tokoh atau Sarjana Islam yang membawa misi yang sama dan seruan yang sama maka bersiap-siaplah untuk mendapat gelaran Wahabi; yang anda sendiri tidak tahu menahu tentang terminologi ini.Kepada mereka yang suka bermudah-mudah dan ringan mulut memburukan dan membuat tuduhan di atas nama agama. Marilah kita muhasabah dan bersikap amanah dalam menyebarkan ilmu. Buangkan prasangka, sikap ujub serta tabiat melabel-labelkan orang, lebih-lebih lagi apabila kita bercakap atas tiket agama. Firman Allah dalam surah al-Hujrat ayat 12, “hai orang-orang yang beriman. Jauhilah banyak bersangka-sangka, kerana sesungguhnya sangkaan itu berdosa”Dikuatkan lagi dengan pesanan Nabi Muhammad shallahu-alaihi wasalam, “Hati-hatilah kamu terhadap prasangka, kerana sesungguhnya prasangka itu adalah sedusta-dusta perkataan” (Hadith direkodkan Imam Bukhari).

Maka beruntunglah mereka yang tetap di jalan kebenaran, dan jika anda berani untuk mengaku sebagai wahabi, hafallah dan telanlah ucapan HAMKA ini sebagai panduan apabila diasak dengan soalan, “Adakah anda Wahabi?.”“Bagi kami yang dikatakan kaum muda itu tidaklah keberatan jika dituduhkan Wahabi. Kalau 20 atau 30 tahun yang lalu semasa pengetahuan agama hanya boleh dipercayai oleh mufti-mufti sahaja, mungkin orang takut dikatakan Wahabi. Tetapi sekarang orang telah tahu bahawa Wahabi tidak lain adalah daripada penganut Mazhab Hanbali yang keras mempertahankan Sunnah. Dan yang berpengaruh memperbaharui (Tajdid) faham Mazhab Hanbali itu ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qoyim. Oleh sebab itu bagi kami dituduh Wahabi bukanlah satu penghinaan.” (Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah dalam tulisannya terhadap Mufti Johor as-Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad pada tahun 1958)

Oleh : Yussamir Yusof
Sumber: http://www.yussamir.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan