Isnin, 12 Oktober 2009

TSUNAMI DI BAGAN PINANG?

Pimpinan UMNO mengatakan telah berlaku Tsunami politik di Bagan Pinang, dan ia dilebelkan sebagai trend baru sekarang bahawa rakyat sudah mula menerima kembali UMNO/BN dan menolak pembangkang. Media utama cengkaman UMNO/BN mula berperanan dan dijangka ia akan mengambil masa yang panjang untuk menghebahkannya. Pagi, petang dan malam mengulang-ulang perkara yang sama untuk mempengaruhi pendengar dan penuntun. Apakah benar berlaku Tsunami seperti yang dikatakan? Ketika ingin kembali ke Kuala Pilah setelah mengetahui keputusan Pilihanraya kecil tersebut, saya dan rakan-rakan ingin mengelak untuk melalui jalan di Batu 2, Jalan Pantai kerana menjangkakan kesesakan akan berlaku kerana penyokong UMNO/BN pasti meraikan kemenangan di Pusat Penjumlahan Undi di Majlis Daerah Port Dickson. Tetapi oleh kerana ingin melihat suasana kegembiraan penyokong BN, maka saya mengambil keputusan untuk meredah jalan tersebut, dan saya tidak melihat apa-apa kemeriahan malah kesesakan yang saya jangkakan itu meleset sama-sekali. Hanya kelihatan penyokong UMNO/BN berkumpul sesama sendiri dan tidak menunjukkan riak gembira dan sorak sorai tanda kemenangan. Apakah itu tanda Tsunami? Ketika hari berkempen berjalan terutamanya pada malam terakhir, majlis penerangan/kempen yang dianjurkan PAS/Pakatan Rakyat mendapat sambutan hangat (walaupun sebilangan besarnya penyokong luar), dan jauh bezanya dengan majlis yang dianjurkan UMNO/BN yang boleh dibilang dengan jari. Apakah itu tanda Tsunami? Ketika hari pembuangan undi, setiap Pusat Pembuangan Undi kelihatan penyokong PAS/Pakatan Rakyat melebihi bilangan penyokong BN/UMNO, kecuali di Bagan Pinang dan Sri Rusa saingan dikata sama kuat dan seolah-olah PAS sudah mendahului BN dalam semua sudut. Apakah itu Tsunami untuk BN/UMNO? Bila berlaku Tsunami bermakna ia akan melanda semua yang berkaitan, termasuklah kebanjiran penyokong dalam kempen, merayu undi dan merai kemenangan, tetapi ini tidak, ia hanya berlaku diatas kertas undi. Ramai yang tertanya-tanya apa sebenarnya yang telah berlaku? Apakah semudah itu pengundi Bagan Pinang boleh dirasuah maupun diugut sehingga calon BN meraih undi melebihi 8 ribu itu dan meningkatkan majoriti kemenangan sebelum ini? Apakah sebodoh itu pengundi Bagan Pinang boleh menerima calon BN yang pernah terpalit dengan pelbagai skandal itu? Apakah selemah itu Tentera yang gagah perkasa boleh menerima calon BN dengan menyapu bersih undi Pos? Ini semua menjadi persoalan yang perlu dicari jawapannya. Sudah diketahui umum, bahawa jika BN/UMNO kalah di Bagan Pinang, maka mala petaka besar akan berlaku kepada UMNO, maka kemenangan WAJIB diperolehi walau dengan apa cara sekalipun pastinya. Sebenarnya tidak berlaku Tsunami di Bagan Pinang, kerana zahirnya tidak menunjukkan demikian, cuma kita tertanya-tanya silapmata apakah yang digunakan BN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan