Jumaat, 31 Oktober 2008

WAN KHAZIM WAN DIN DI KUALA PILAH

Wan Khazim bin Wan Din 77 tahun Bekas Ketua API (Angkatan Pemuda Insaf) Perlis yang ditubuhkan pada tahun 14 Februari 1945 telah berkunjung ke rumah penulis tengahari tadi untuk menziarahi anaknya di Kuala Pilah. Beliau yang bersahabat rapat dengan ayahanda penulis U. Hashim Ghani apabila diajukan soalan mengenai sejarah perjuangannya dahulu kelihatan bersemangat untuk menceritakan pengalaman beliau. Pada ketika berusia 14 tahun beliau telah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Angkatan Pemuda Insaf (API) Kangar. Ketua Angkatan Pemuda Insaf pada ketika itu ialah Ahmad Boestamam, manakala sayap Wanita dipimpin oleh Shamsiah Fakeh. Peristiwa yang amat terkesan dalam sanubarinya ialah ketika PKMM mengadakan perarakan di bandar Kangar bagi menuntut kemerdekaan, penjajah British tidak membenarkan perarakan melalui jalan raya, dan terpaksalah melalui jalan semak dan belukar, demikian diperlakukan oleh pihak penjajah bagi mengekang pergerakan rakyat ketika itu. Beliau mendapat suntikan semangat perejuangan melalui ayahanda beliau Pak Wan Din, kerana ketika itu bila ada sebarang perjumpaan Pimpinan PKMM di Utara Tanah Air, maka dirumah Pak Wan Din lah mereka bertumpu, antaranya Ahmad Boestaman, Pak Sako, Ust. Yahya Nasim, Hasnol Hadi, Idham Latif, Rashid Ali dan ramai lagi. Pak Wan Din pernah dipenjara selama 5 tahun oleh penjajah. Disamping turut mendengar ucapan-ucapan patriotik Soekarno dan lain-lain pemimpin daripada Radio Indonesia yang boleh kedengaran pada waktu itu.

Bersama Pak Wan Khazim

Pada 26 Ogos 2007 beliau telah di Jemput oleh Lujnah Penerangan PAS Pusat untuk menyampaikan ucapan di “Seminar Penghayatan Kemerdekaan, Kempen Selamatkan Malaysia”.

Beliau pernah mendapat penghargaan daripada Kerajan Negeri Perlis atas jasa beliau kepada pekembangan seni, dan merupakan bekas Johan Pantun Kebangsaan.

Wan Khazim juga pernah berlakon bersama-sama P. Ramlee dalam Filem Hang Tuah dan berlakon dalam beberapa Filem Melayu ketika itu.

Bila tanya mengenai Shamsiah Fakeh yang mengetuai AWAS tentang personalitinya beliau menyatakan tidak ada seorang wanitapun yang mempunyai semangat waja seperti beliau.

Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan