Jumaat, 31 Oktober 2008

MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA & DEEPAVALI

Semalam 30hb. Okt. 2008 Persatuan penduduk Wisma Sentosa Kuala Pilah (yang majoritinya masyarakat Tiong Hua) telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya dan Deepavali. Penulis telah diminta oleh pihak penganjur untuk menjadi MC.

Mr. Yap Kueh Fah Pengerusi Persatuan dan Mr Lee menyampaikan cenderamata

Sdr. Nizam Razak turut hadir

Oleh kerana mereka semua adalah rakan-rakan saya dan juga salah seorang daripada AJK Persatuan tersebut, maka saya terima pelawaan itu. Yang menariknya tetamu undangan ialah Dato' Hasan Malek, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan sempat berbual seketika mengenai isu terkini. Dan dalam ucapan beliau, beliau merasa bangga dengan kesepakatan penduduk yang berbilang kaum berhimpun disini dan berharap ia akan berterusan untuk generasi akan datang, turut meraikan sama ialah Ketua Gerakan Bahagian, Ketua PPP Bahagian, Timbalan Pengerusi MCA K. Pilah, Ketua MIC KP, Wakil PAS dan Keadilan. Perbezaan pandangan Politik harus diketepikan dan hari ini kita dapat buktikan kesepakatan itu kata beliau lagi. Penampilan menarik Timbalan Ketua AMK K. Pilah Sdr. Nizam Razak turut menjadi perhatian. Apa pandangan anda?

WAN KHAZIM WAN DIN DI KUALA PILAH

Wan Khazim bin Wan Din 77 tahun Bekas Ketua API (Angkatan Pemuda Insaf) Perlis yang ditubuhkan pada tahun 14 Februari 1945 telah berkunjung ke rumah penulis tengahari tadi untuk menziarahi anaknya di Kuala Pilah. Beliau yang bersahabat rapat dengan ayahanda penulis U. Hashim Ghani apabila diajukan soalan mengenai sejarah perjuangannya dahulu kelihatan bersemangat untuk menceritakan pengalaman beliau. Pada ketika berusia 14 tahun beliau telah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Angkatan Pemuda Insaf (API) Kangar. Ketua Angkatan Pemuda Insaf pada ketika itu ialah Ahmad Boestamam, manakala sayap Wanita dipimpin oleh Shamsiah Fakeh. Peristiwa yang amat terkesan dalam sanubarinya ialah ketika PKMM mengadakan perarakan di bandar Kangar bagi menuntut kemerdekaan, penjajah British tidak membenarkan perarakan melalui jalan raya, dan terpaksalah melalui jalan semak dan belukar, demikian diperlakukan oleh pihak penjajah bagi mengekang pergerakan rakyat ketika itu. Beliau mendapat suntikan semangat perejuangan melalui ayahanda beliau Pak Wan Din, kerana ketika itu bila ada sebarang perjumpaan Pimpinan PKMM di Utara Tanah Air, maka dirumah Pak Wan Din lah mereka bertumpu, antaranya Ahmad Boestaman, Pak Sako, Ust. Yahya Nasim, Hasnol Hadi, Idham Latif, Rashid Ali dan ramai lagi. Pak Wan Din pernah dipenjara selama 5 tahun oleh penjajah. Disamping turut mendengar ucapan-ucapan patriotik Soekarno dan lain-lain pemimpin daripada Radio Indonesia yang boleh kedengaran pada waktu itu.

Bersama Pak Wan Khazim

Pada 26 Ogos 2007 beliau telah di Jemput oleh Lujnah Penerangan PAS Pusat untuk menyampaikan ucapan di “Seminar Penghayatan Kemerdekaan, Kempen Selamatkan Malaysia”.

Beliau pernah mendapat penghargaan daripada Kerajan Negeri Perlis atas jasa beliau kepada pekembangan seni, dan merupakan bekas Johan Pantun Kebangsaan.

Wan Khazim juga pernah berlakon bersama-sama P. Ramlee dalam Filem Hang Tuah dan berlakon dalam beberapa Filem Melayu ketika itu.

Bila tanya mengenai Shamsiah Fakeh yang mengetuai AWAS tentang personalitinya beliau menyatakan tidak ada seorang wanitapun yang mempunyai semangat waja seperti beliau.

Sekian.

Khamis, 30 Oktober 2008

MAJLIS MENGENANG PENGORBANAN SHAMSIAH FAKEH

Suatu Majlis Mengenang Pengorbanan Shamsiah Fakeh bagi memerdekakan Tanah Air Dari Kolonial British akan diadakan:-

Tarikh : 30hb. Oktober 2008
Surau An-Nur, Kg. Gachong, K. Pilah
Jam 8.30 Malam


Maklumat hubungi:
Ust. Hj. Baharin Salleh :- 013 6716406

Rabu, 29 Oktober 2008

RAIS KESAL POLITIK WANG

Dalam satu kenyataan dalam Akhbar Sinar Edisi Nasional hari ini, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim menyatakan rasa bimbang beliau dengan amalan politik wang (kita katakan rasuah) yang berleluasa dalam UMNO sekarang dan inilah yang akan menutup tirai UMNO atau gulung tikar. Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Luar Negara setakat ini hanya menerima 9 pencalunan bagi jawatan Naib Presiden. Politik wang ini menurutnya berlaku disemua peringkat,

Kebimbangan ini buka sahaja disuarakan oleh Rais Yatim, malah sebelum itu ADUN Serting YB Shamsulkahar Mohd. Deli yang tewas dalam pertandingan jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jempol turut menyatakan perkara yang sama, beliau tewas hanya dengan 1 undi kepada pencabarnya, beliau menyatakan perwakilan telah dibeli dengan wang ringgit.

Kita juga berasa amat sedih dengan phenomena ini, bukan kerana ingin mencampuri urusan dalam Parti UMNO, tetapi sekadar ingin menjadikan tauladan supaya tidak dicontohi oleh generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara, dan ahli-ahli Parti lain khususnya PKR. Pengalaman saya sendiri dalam UMNO suatu ketika dahulu mengesahkan perkara itu sebelum dipecat oleh MT UMNO pada tahun 1999. Rasuah untuk mengundi calun yang bertanding diberikan atas nama sedekah dan berbagai lagi, hatta menyelit wang dalam Surah Yassin.

Tidak dinafikan wang adalah segala-galanya dalam UMNO, malah boleh kita anggap ia sebagai Tuhan mereka, walaupun tidak diakui oleh sesiapapun, kerana gelagat permainan mereka sedemikian jadinya. Maka itu kita dapat lihat golongan kapitalis ramai yang menguasai UMNO, dengan hajat mereka boleh memperolehi seberapa banyak projek daripada YB atau yang lebih atas daripada itu. Sebab itu tidak ada lagi ruh perjuangan membela Agama dan Bangsa dalam Parti itu, kecuali pepura semata.

Seperti apa yang dibimbangkan oleh Dr. Rais Yatim, politik wang berlaku disemua peringkat dan tidak ada tindakan drastik bagi mengekang gejala tersebut. Semua peringat bermakna daripada Cawangan hinggalah ke Pusat dan tentu lebih lumayan lagi bagi jawatan Tertinggi dalam UMNO. Beginilah parah dan bobroknya UMNO, dan jika diteliti lebih dalam lagi tidak mustahil ataupun sudah berlaku Agama Islam dan Bangsa Melayu adalah pertaruhan mereka untuk dijual beli. Tetapi yang sering terpampang didada-dada media massa maupun elektronik bahawa merekalah pejuang Agama dan Bangsa dalam ikatan kesatuan yang teguh. Tetapi sebenarnya mereka menipu orang lain dan diri mereka sendiri dengan ikatan yang sangat rapuh.

Firman Allah SWT:-
“Kamu anggap mereka dalam perpaduan padahal hati dan jiwa mereka berkecai-kecai" (Al-Hasyri: 14)

Dr. Rais Yatim setakat hari ini hanya mendapat 9 pencalunan untuk melepasi 20 pencalunan bagi membolehkan beliau bertanding Jawatan Naib Presiden yang amat membimbangkan beliau jika gagal manakala Shamsulkahar tewas di Jempol. Kenyataan mereka berdua dikeluarkan setelah survival merera tergugat bukan kerana survival UMNO, begitu jugalah yang lain-lainnya.

Maka itu rakan reformis, apa yang berlaku dalam UMNO yang diulas diatas adalah untuk dijadikan pengajaran dan dijadikan sempadan, bukan untuk mencampuri urusan orang lain.

Firman Allah SWT:
"Tidak ada yang akan menjadikannya pengajaran, kecuali mereka yang berotak berfikiran” (Ali Imran:7)

Sekian untuk hari ini.

Selasa, 28 Oktober 2008

PEMBELI PERUMAHAN PERPADUAN HEIGHTS BUAT LAPORAN POLIS


28 November 2008. Seramai 45 Orang pembeli rumah Perpaduan Heights Kuala Pilah, Senaling telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Kuala Pilah hari ini jam 4.00 petang terhadap Pemaju dan dua buah Syarikat Arkitek Projek Perumahan Perpaduan Heights Kuala Pilah yang terbengkalai semenjak 2003. Laporan polis tersebut diketuai oleh En. Salehuddin Abdullah selaku Pengerusi Badan Bertindak Pembeli.

Menurut En. Salehudin, Projek yang dimulakan pada tahun 1996 yang sepatutnya siap pada tahun 2001 telah berjaya menarik seramai 231 orang pembeli, dan semenjak terbengkalai sudah banyak ikhtiar telah dilakukan oleh pembeli bagi menarik perhatian Kerajaan untuk membantu menyelesaikan kemelut ini, namun semuanya menemui jalan buntu. Pertemuan juga telah diatur dengan ADUN Kawasan Pilah, EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan, pihak Majlis Daerah sebagai rakan kongsi pemaju, semuanya tidak memberikan suatu jawapan konkrit terhadap permasalahan ini. Suatu protes secara besar-besaran juga telah diadakan pada 21hb. Ogos 2007 dan ekoran daripada itu pihaknya telah menghantar satu memorandum kepada Yang Di Pertua Majlis Daerah. Pihak TV3 juga membuat liputan mengenai protes tersebut. Pihaknya juga telah mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi terhadap pemaju, namun semua masih tergantung dan tidak menemui jalan penyelesaian.

Ketua AMK NS En. Halim bersama Peguam

Turut hadir bersama membuat laporan tersebut ialah En. Tang Jay Son Peguam yang dilantik oleh pihak Badan Bertindak Pembeli. Menurut En. Tang Jay Son, beberapa keraguan timbul terhadap projek ini, beliau turut mempersoalkan mengapa ada aliran keluar masuk wang antara pihak Bank dengan Pemaju setelah Kerajaan mengistiharkan Projek tersebut terbengkalai. Juga bayaran kepada pihak Pemaju oleh Bank mencapai tahap 80% sedangkan prestasi kerja amat rendah daripada itu. Beliau berharap pihak polis akan menyiasat aduan Pembeli itu tanpa memilih bulu, dan beliau telah diminta oleh Pembeli untuk mengemukakan saman terhadap Pemaju dan Arkitek perumahan tersebut kerana didapati telah menipu pihak pembeli.

Sementara itu En. Halim Bin A Aziz, Ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri Sembilan yang ditemui berkata, beliau telah membawa perkara ini kepengetahuan BPR untuk disiasat, kerana didapati dalam beberapa laporan yang beliau perolehi didapati ada unsur-unsur penyelewengan Pemaju bersama Majlis Daerah Kuala Pilah terhadap pembeli. Namun daripada jawapan yang beliau perolehi daripada BPR tiada apa-apa tindakan boleh diambil terhadap Pemaju kerana prosedur yang dilakukan adalah betul, dan dalam masa yang sama berliau hairan bagaimana Timbalan Pengarah BPR N. Sembilan boleh bertukar, kerana beliau yang menyiasat hal tersebut. Beliau juga turut melahirkan rasa kesal terhadap bekas EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan N. Sembilan En. Woo Ah Lek yang beliau temui bersama pembeli dengan memberikan alasan yang sangat tidak masuk akal dan tidak membela pembeli yang teraniaya.

Puan Lee Cheng Mei

Seorang lagi Pembeli yang teraniya Puan Lee Cheng Mei berharap laporan ini akan dapat disiasat oleh pihak polis dengan seadil-adilnya, kerana beliau merasakan telah tertipu dengan pemaju. Bukan sedikit wang yang beliau keluarkan dan lebih mendukacitakan beliau kini terpaksa membayar kepada benda yang tiada. Beliau juga bersimpati dengan lain-lain pembeli kerana kebanyakkan mereka terdiri daripada golongan yang berpendapatan rendah dan sudah berumur, dan amat mengharapkan mereka oleh memiliki rumah dihari tua. Tetapi begini nasib yang menimpa mereka tanpa pembelaan daripada pihak Kerajaan.

Ahad, 26 Oktober 2008

JAHILIYAH UMNO

Orang-orang Melayu sering diingatkan oleh pemimpin UMNO, bahawa hanya UMNO sahajalah yang layak memimpin orang-orang Melayu dan memerintah Malaysia. Parti selain UMNO tidak layak dan hanya pembawa perpecahan dikalangan komuniti Melayu. Kata mereka lagi UMNO telah memimpin orang-orang Melayu semenjak 50 tahun lalu, dan banyak jasa telah diberikan dan tidak sepatutnya kacang lupakan kulit, kita harus bersyukur dengan nikmat itu, dan orang orang yang tidak bersyukur adalah durhaka. Oleh itu pilihan selain UMNO adalah salah dan tidak betul. Kata-kata seperti ini serupa seperti kata-kata ketua Yahudi Madinah zaman RasululLah, iaitu : Jangan kamu percaya, melainkan hanya kepada orang yang telah menuruti agama kamu sahaja. (Ali Imran: 75)

Sebab itu mereka langsung tidak berhajat untuk mengenali kita, malah menganggap sebagai musuh kepada bangsa Melayu dan Rakyat Malaysia. Kenapa tidak, antara yang bersama dengan kita dibatal atau tidak diberi langsung kontrak, yang berjawatan dalam persatuan atau badan kebajikan akan dipecat dan sebagainya. Kata-kata sedemikian sering kedengaran semenjak akhir-akhir ini, setelah Melayu mula berubah dalam dua pilihanraya yang lalu. Dengan memperalatkan pelbagai Persatuan dan NGO bagi mempersetujui hanya satu-satunya Parti yang mewakili Melayu harus kekal sampai bila-bila sebagai Pemerintah, maka pelbagai deklarasi dan resolusi diterbitkan.

Ini satu pandangan yang amat sempit lagi jumud, tidak boleh dipakai oleh fikiran yang waras, kerana manusia dicipta dengan pelbagai anika fahaman, maka jika fahaman dan fikiran itu diterima dan dipersetujui oleh masyarakat atau rakyat, ia wajib diiktiraf dan diakui. Bukan dengan meletakkan syarat dan paksaan, maka itu adalah cara Jahiliyah.

Kita adalah golongan yang inginkan perubahan, dan cara perubahan itu bukan dengan keganasan. Dan kita juga sering dimomok-momokkan dengan keganasan oleh alat propoganda UMNO, dan dengan kepintaran mereka sering bersumpah seperti "Mereka akan bersumpah dengan nama Allah, maksud kami tidak lain melainkan demi kebaikan dan perpaduan ummah" (An-Nisa' a: 62).

Lihat dan telitilah perangai pemimpin UMNO itu.

CERAMAH UMUM

MOHON MAAF. TARIKH CERAMAH TELAH DIPINDA KEPADA 9HB. NOVEMBER 2009 (AHAD), TEMPAT DAN MASA TIDAK BERUBAH. SILA HUBUNGI SHAHRAN: DITALIAN :-017-3282699.


Satu Ceramah Umum akan diadakan di Kampung Talang Kok, Tanjung Ipoh pada 2hb. November 2008, penceramah utama yang diundang ialah Ustaz Dr. Badrul Amin Bahrun. Ceramah akan bermula jam 9.00 malam

Khamis, 23 Oktober 2008

MENGERJAKAN HAJJI

En. Roslan Alias Naib Ketua Parti Keadilan Rakyat Bahagian Kuala Pilah akan menunaikan Hajji tahun ini pada 4hb. November 2008 bersama isteri (Puan Azura Aziz) dan keluarga beliau. Sehubungan dengan itu beliau akan mengadakan kenduri Doa Selamat pada 25hb. Oktober ini (Hari Sabtu) bermula waktu Maghrib dan menjemput tuan/puan yang berhampiran untuk bersama dalam majlis beliau tersebut. Terimakasih.


ISU FITNAH HASAN MALIK

Pada 22 Oktober jam 10.30 pagi ini satu Sidang Media Khas Ketua Bahagian keADILan Rembau telah diadakan di Pejabat Perhubungan keADILan Negeri Sembilan. Tiga isu telah diketengahkan dan antaranya isu Fitnah YB Dato' Hasan Malek. Sdr. Nor Hamizan Jaafar yang dimaksudkan oleh YB Dato' Hasan Malek menawarkan wang ringgit dan jawatan kepada beliau itu, turut dipinggil dalam Sidang Media Khas tersebut. Dalam kenyataan Media itu Sdr. Nor Hamizan memaklumkan bahawa satu surat akan dihantar kepada YB Dato' Hasan Malek untuk beliau membuat kenyataan terbuka menjelaskan perkara tersebut dan menarik balik fitnahnya atau beliau akan berdepan dengan surat dari peguam untuk memulakan prosedur tindakan undang – undang.

Isnin, 20 Oktober 2008

BELASUNGKAWA


Shamsiah Fakeh berusia 84 tahun menghembuskan nafas terakhirnya di rumah anaknya Kamaruddin jam 9.00 pagi semalam 20hb Oktober 2008. Berita sedih ini dikhabarkan oleh anak beliau Kamarudin Ibrahim sekitar jam 10.00 pagi, jenazah pejuang kemerdekaan itu disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Besi selepas solat Asar. Kita doakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT. " Ya Allah, ampunilah ia dan rahmatilah ia, selamatkan ia dan maafkanlah kesalahannya. Muliakanlah tempatnya, luaskanlah kuburnya, mandikanlah ia dengan air dan salji. Bersihkan ia daripada kesalahan sebagaimana Engkau bersihkan pakaian putih daripada kekotoran, gantikan rumah yang lebih baik daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya, pasangan yang lebih baik daripada pasangannya. Masukkanlah ia ke dalam syurga dan lindungi ia daripada seksaan kubur (seksaan neraka). Amin Ya Rabbal Alamin. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah. Sesungguhnya semangat perjuangan Shamsiah Fakih masih hidup dan mengalir dalam tubuh-tubuh anak-anak Kuala Pilah.

Sabtu, 18 Oktober 2008

SIAPA ???

Dalam pada membelek-belek keratan akhbar lama, terpandang berita tahun 1994 mengenai tokoh yang sangat saya kagumi. Kata beliau "saya tidak pernah menggunakan pistol yang saya miliki untuk menumpahkan darah sesiapapun". Tapi nak teruskan cerita jam dah pukul 3.00 pagi, dah tak larat, kerana 8.00 pagi nanti nak ke Kuala Lumpur kerana urusan keluarga. Keratan akhbar berusia 14 tahun tersebut hasil kumpulan ayahanda yang menjadi aspirasi kepada saya untuk melangkah bersama reformis. Bahkan masih banyak tersimpan berita yang saya anggap tinggi nilainya oleh ayahanda sewaktu mudanya. Sejarah awal penubuhan UMNO di Kuala Pilah dan daripada mana ia bermula masih tersusun rapi. Sebab itu lagak-lagak sombong Pimpinan UMNO Kuala Pilah tidak menghairankan. Apa gunanya sombong diwaktu mekar, tangkai dan dahan tempat berpijak itu suatu hari nanti akan patah, akhirnya tidak duduk juga di kerusi empuk itu, akan serupa juga seperti orang biasa yang tidak bertaring dan berkuku. Kita sudah banyak berjumpa sahabat yang dulunya memperlekehkan pendirian kita dengan angkuh, takbur menyatakan perjuangan kita tidak akan kemana dan sesia, tapi kini mula tunduk dan menyisihkan diri bila bersua kerana kehilangan kuasa, tetapi masih ada lagi yang berdegar dan berlagak, pada pemerhatian kita mereka itu sudah TIDAK BERMANFAAT lagi. Kesah PISTOL itu akan saya siarkan nanti.

Ahad, 12 Oktober 2008

ANTARA PENUMPANG DAN PENDATANG

(Saya menerima e-mail daripada sahabat dan meminta penulis asal dirahsiakan, dan saya tertarik untuk menyiarkan pandangannya untuk tatapan bersama.)
ANTARA PENUMPANG DAN PENDATANG

Pada mulanya saya agak keberatan nak ulas kekecohan yang berpunca ekoran daripada kenyataan ketua UMNO bahagian Bukit Bendera, Pulau Pinang bernama Ahmad bin Ismail. Sama ada benar atau tidak apa yang didakwa dikatakan olehnya mengenai rakyat Malaysia keturunan Cina bukan persoalannya kerana isu tersebut sudahpun merebak dan mengapi-apikan keadaan. Jika tidak ditangani dengan cermat, teliti dan bijak, isu itu boleh ditangguk dalam air yang keruh oleh anasir-anasir yang ingin melihat negara ini hancur serta mengundang campur tangan kuasa asing. Dalam zaman dunia tanpa sempadan dan liputan meluas dan segera oleh media elektronik antarabangsa, apa yang berlaku di sesebuah negara itu tidak dapat disembunyi atau dinafikan. Isu pokok yang dibangkitkan oleh Ahmad Ismail membabitkan persoalan “menumpang” iaitu rakyat Malaysia keturunan Cina adalah penumpang di negara ini. Beliau menjelaskan bahawa ia merujuk kepada zaman pra-Merdeka. Bagaimanapun, sensitiviti rakyat Malaysia keturunan Cina telah terguris. Saya tidak mengenali secara peribadi Ahmad Ismail, tetapi kenal agak rapat dengan Allahyarham abangnya, Abdul Rahim Ismail, pemilik Syarikat Pembinaan Rahim yang pada satu ketika dahulu agak terkenal sebagai sebuah firma pembinaan Bumiputera yang unggul di Pulau Pinang. Saya tidak tahu apa dah jadi dengan syarikat itu selepas Abdul Rahim meninggal dunia. Secara peribadi, saya tidak setuj udengan apa yang didakwa dikata oleh Ahmad Ismail atas beberapa sebab. Bagi saya, hampir 90 peratus rakyat Malaysia, khususnya di Semenanjung, adalah pendatang dan kita semua sebenarnya menumpang hidup di bumi Allah. Kita bukan pemilik kekal tetapi hanya menumpang. Sebagai contoh, saya sendiri adalah keturunan pendatang yang menumpang hidup di bumi bertuah ini. Datuk nenek di sebelah bapa saya berhijrah dari Makkah dan dari Brunei ke sini manakala di sebelah ibu pula dari Hadhramut, Yaman. Kami adalah pendatang dan penumpang sama seperti hampir semua penduduk negara ini khususnya di Pulau Pinang. Bagi Ahmad Ismail, dia juga datang dari keluarga pendatang dan menumpang hidup di negara ini. Ahmad Ismail tidak boleh menafikan hakikat bahawa datuk neneknya adalah pendatang dari India untuk menerokai penghidupan yang lebih baik dan selesa di bumi bertuah ini. Perdana Menteri Abdullah bin Ahmad juga tergolong dalam kategori yang sama. Datuknya di sebelah ibu adalah pendatang dari wilayah Guandong, China. Pendek kata, datuk Pak Lah iaitu bapa Allahyarhamah Kailan bernama Hassan Salleh atau Hah Su Chiang adalah seorang pendatang. Beliau berhijrah keTanah Melayu dari wilayah Guandong (Kwantung) pada pertengahan abad ke-19 dan menetap di Bayan Lepas sebagai pekebun getah, pesawah padi dan kemudian saudagar intan berlian. Najib Tun Razak, Timbalan PM juga berasal daripada keluarga pendatang iaitu dari Sulawesi, Indonesia atau lebih senang disebut orang Bugis manakala sepupunya Hishamudin Hussein tidak terlepas daripada darah keturunan Turki. Datuk nenek mantan PM Tun Dr MahathirMohamad juga pendatang dari Kerala, India manakala ibu Almarhum Tunku Abul Rahman berasal dari negeri Siam (Thailand). Kesultanan Melayu Melaka pun dibuka oleh orang pendatang dari Sumatra bernama Parameswara, seorang anak raja atau bangsawan beragama Hindu. Dalam sejarah kesultanan Melayu, kita dapati ada yang ditubuh oleh pendatang dari Bugis dan ada pula dari Hadhramut selain dari Minangkabau. Hampir semua orang Melayu di sini berasal dari luar Tanah Melayu tetapi diiktiraf sebagai“bangsa Melayu” oleh Perlembagaan Persekutuan. Kita beragama Islam, mengamalkan adat resam Melayu dan bertutur dalam bahasa Melayu. Malangnya, bahasa Melayu nampaknya dimatikan oleh orang Melayu (UMNO) sendiri apabila dinamakan sebagai bahasa Malaysia. Oleh itu, orang Arab seperti Syed Hamid Albar dan saya, orang Aceh seperti Sanusi Junid, orang India seperti Kader Sheikh Fadzir dan Nor Mohamed Yakcop, orang Bugis sepert iNajib, orang Minang seperti Rais Yatim, orang Jawa seperti Mohamad Rahmat dan yang lain seperti dari Madura, Pulau Boyan, Siam, Burma, Yunnan (China) dan dengan mudah boleh diiktirf sebagai“Melayu”. Mereka diterima sebagai orang Melayu tidak kira sama ada mereka bertutur bahasa Melayu atau tidak di rumah umpamanya si Arab berbahasa Arab, si Jawa berbahasa Jawa dan si Minang berbahasa Minang atupun siMamak berbahasa Tamil. Bahasa-bahasa yang disebut bahasa Melayu dan jika dilihat dari sudut Perlembagaan Persekutuan, tidak boleh diterima atau diiktiraf sebagai bangsa Melayu. Walau bagaimanapun, atas kepentingan dan faktor politik, semuanya diterima sebagai Melayu dan Bumiputera. Oleh itu, adalah tidak adil untuk menuding jari kepada orang Cina yang juga kaum pendatang sama seperti orang Arab, India, Aceh, Minang, Batak, Mandailing, Jawa, Madura mahupun Bugis, sebagai menumpang di negeri ini. Kita tidak boleh menafikan bahawa sebilangan besar datuk nenek orang Cina telah berhijrah ke negeri ini semasa Kesultanan Melayu Melaka, bahkan kesultanan-kesultanan terdahulu di Kedah mahupun Terengganu dan Kelantan serta semasa Francis Light berjaya menipu Sultan Kedah untuk menduduki Pulau Pinang pada 1786. Kita adalah kaum pendatang yang menumpang hidup di negeri ini. Golongan yang boleh diiktiraf sebagai orang asal atau anak bumi tulen adalah mereka yang kita kenali sebagai Negrito, Jakun, Semang, Jahut, Orang Laut, Orang Darat, Senoi dan suku kaum masyarakat Asli lain yang masih menjadi penghuni belantara. Kita tidak harus lupa akan sumbangan dan pengorbanan semua kaum dan suku kaum untuk membangunkan Malaysia sama ada dari sudut ekonomi, kemasyarakatan, keselamatan dan yang paling penting kesepakatan dan perpaduan. Semua orang yang kena dan seharusnya membayar cukai, berbuat demikian tanpa mengira kaum atau asal keturunan, sama ada pendatang atau penumpang.

MESYUARAT AGONG PKR BAHAGIAN KUALA PILAH

Mesyuarat Agong Parti Keadilan Rakyat Bahagian Kuala Pilah telah berlangsung pada 11hb. Oktober 2008 yang lalu dengan jayanya. Mesyuarat yang bermula jam 3.00 petang itu dimulai dengan Mesyuarat Agung Wanita, manakala Angkatan Muda telah bermesyuarat sebelumnya iaitu pada 10hb. Oktober 2008. Dalam ucapan pembukaan Setiausaha, beliau menyatakan penghargaan kepada semua ahli yang terus memberikan sokongan kepada PKR Kuala Pilah semenjak ditubuhkan pada tahun 1999 yang lalu, dan semenjak itu Bahagian Kuala Pilah tidak pernah ketinggalan mengadakan Mesyuarat Tahunannya.

Manakala dalam ucapan Perasmian Ketua Bahagian, En. Nordin Ismail mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua ahli yang sebahagian besarnya masih bersama. Dalam Pilihanraya yang lalu rakyat menerima Perubahan yang dibawa keadilan dan Pakatan yang lain, dan perubahan ini yang pada peringkat awalnya berupa penentang membina pula kepada keyakinan diri untuk menjadi pemerintah. Walaubagaimanapun kita tidak mendapat sokongan padu daripada pengundi Melayu terutama diluar bandar. Maka itu usaha-usaha harus dilakukan bersama bagi meraih sokongan mereka dalam Pilihanraya yang akan datang. Kita juga disarankan supaya merubah cara berfikir dan bertindak dan harus mengambarkan kepelbagaian kaum yang diwakili. Beliau menyatakan keseriusan Pakatan Rakyat untuk memerintah, oleh yang demikian, semua pihak harus berfungsi dan mengajak masyarakat untuk bersama-sama melakukanya. Akhirnya beliau berharap agar organisasi Bahagian, Angkatan Muda dan wanita dapat diperkemaskan dalam mendepan cabaran mendatang. Mesyuarat telah dipengerusikan Oleh Tuan Haji Bacik Latif dan telah berjalan dengan sempurna dan tamat jam 5.30 petang.

Pada sebelah malamnya pula, PKR Kuala Pilah mengadakan Sambutan Hari Raya di Pejabat Pakatan Rakyat DUN Juasseh, Jemapoh bermula jam 8.30 malam. Turut bersama dalam majlis tersebut ialah ADUN Sikamat YB Aminuddin Harun, dan Pak Wan Ismail (bapa DSWA), Sdr. Romli Ishak dan rakan-rakan yang lain. Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Warga Pakatan Rakyat Juasseh dan Jemapoh kerana turut sama membantu bagi menjayakan majlis tersebut. Terima kasih.

Rabu, 8 Oktober 2008

SAMBUTAN HARI RAYA 1429H

PKR Bahagian Kuala Pilah akan mengadakan Sambutan Hari Raya 1429H pada 11hb. Oktober 2008 bertempat di Pejabat Pakatan Rakyat DUN Juasseh, Jemapoh bermula jam 8.30 malam. Semua ahli dan penyokong diminta hadir bagi meraikan Sambutan tersebut.

NOTIS MESYUARAT AGONG TAHUNAN

Mesyuarat Agong Tahunan Parti Keadilan Rakyat Bahagian Kuala Pilah bagi tahun 2008 akan diadakan pada 11hb. Oktober 2008 (Sabtu) Jam 3.00 Petang bertempat di Pejabat Keadilan Bahagian Kuala Pilah. Oleh yang demikian semua ahli dijemput hadir bagi menunaikan tanggungjawab sebagai ahli Parti.

Setiausaha Bahagian
Kuala Pilah.

Isnin, 6 Oktober 2008

SAMBUTAN HARI RAYA

Parti Keadilan Rakyat UPU Sikai, Gunong Pasir telah mengadakan sambutan Hari Raya pada 4hb. Oktober yang lalu. Tuan Haji Salleh Abdullah. selaku Pengerusi DUN Seri Menanti dan juga Ketua Unit Peti Undi Sikai bersama-sama Jawatankuasanya mengambil inisiatif tersebut dengan tujuan untuk mengumpulkan penduduk setempat bagi meraikan Hari Raya tahun ini bersama-sama, turut diundang ialah YB Sdr Aminuddin Harun ADUN Sikamat, En. Nordin Ismail Ketua PKR Bahagian Kuala Pilah dan Jawatankuasa. Dalam ucapan Tuan Hj. Salleh Abdullah menyatakan kegembiraan beliau diatas sokongan penduduk setempat dan kehadiran YB Sdr Aminuddin Harun dan Jawatankuasa PKR Bahagian. Manakala YB Aminuddin Harun mengucapkan tahniah kepada UPU Sikai, kerana telah mengadakan program sambutan Hari Raya kali ini, dan ini merupakan tempat pertama beliau diraikan. En. Nordin Ismail dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada UPU Sikai, kerana berjaya menganjurkan Sambutan Hari Raya tahun ini dengan mengumpulkan semua ahli dan penyokong setempat. Kekuatan disini kelihatan semakin bertambah mantap dan diharap ia akan berterusan pada masa-masa akan datang, dan dapat menyemarakkan aktiviti di UPU lain.